Tempatan

SUHAKAM Sewajarnya Bebas Daripada Tafsiran Jumud Hak Asasi Antarabangsa – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2021 – SUHAKAM sewajarnya mengambil kira maksud dan semangat hak asasi daripada sudut kerangka masyarakat dan Perlembagaan Malaysia.

Ini bermaksud, SUHAKAM hendaklah bebas daripada tafsiran jumud hak asasi antarabangsa yang terikat kepada hak individu bukannya hak kelompok, kata Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

“Hak asasi seringkali dirujuk sebagai hak individu tetapi bagaimana pula dengan hak kumpulan?” soal beliau.

Tambah Haniff, hak kumpulan juga mempunyai pengiktirafan daripada sudut hak asasi contohnya, hak orang yang beragama mestilah diambil kira terhadap hak orang yang tidak beragama.

“Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud hak individu untuk bebas daripada pautan ataupun halangan agama dianggap sebagai menjejaskan hak individu. Sebab jika ditafsirkan dengan terlampau jumud maka ia akan menyebabkan hak orang yang beragama atau hak agama itu pun turut terjejas,” kata beliau dengan tegas.

Jelas Haniff, lebih daripada 50 peratus populasi dunia mempunyai kepercayaan dalam kepercayaan phase in faith.

Makna kata, agama sama ada Islam, Kristian, Hindu, Buddha ataupun mana-mana agama lain diiktiraf masyarakat antarabangsa sebagai suatu hak yang ada kepada kelompok masyarakat.

“Jadi, hak individu ini tidak boleh sampai ke tahap menjejaskan hak masyarakat perkaitan dengan hak agama,” jelasnya kepada wartawan Samudera.my.

Oleh itu, beliau menyatakan bahawa SUHAKAM perlu memperjuangkan hak kelompok majoriti supaya tidak dianggap sebagai mendiskriminasi minoriti selama-lamanya dalam setiap isu.

Dalam masa yang sama, beliau juga mahu SUHAKAM memperjuangkan hak minoriti agar mereka tidak ditindas.

“SUHAKAM sebenarnya ditubuhkan bagi tujuan menyelia dan menegakkan isu hak asasi semua rakyat Malaysia yakni hak yang majoriti dan juga yang minoriti jadi, SUHAKAM adalah suruhanjaya hak asasi manusia untuk semua.”

Maka, menjadi tanggungjawab SUHAKAM untuk menentukan hak setiap rakyat berpandukan kepada keperlembagaan dan peruntukan perlembagaan serta undang-undang dimartabatkan.

Justeru, beliau berpendapat SUHAKAM perlu membuat satu anjakan yang kuat untuk menghilangkan persepsi rakyat seolah-olah SUHAKAM cuma memelihara hak minoriti padahal tanggungjawab SUHAKAM adalah juga untuk memelihara hak majoriti selagi ianya tidak menindas hak minoriti.

Di akhir kenyataan, Haniff Khatri menyifatkan bahawa memelihara hak majoriti tidak bermakna perkara itu menentang hak asasi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: