Tempatan

SUHAKAM Sepatutnya Fokus Dalam Memperkasakan Hak Asasi Manusia Di Malaysia – Ku Amirul Faiz bin Ku Seman

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2021- “Kita perlukan SUHAKAM sekurang-kurangnya berfungsi mengikut Akta 597 sendiri kerana ini merupakan peranan mereka dan sudah menjadi tanggungjawab SUHAKAM untuk fokus dahulu terhadap isu yang wujud dalam negara ini,” ujar ahli Jawatankuasa Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review (UPR) Process (MACSA), Ku Amirul Faiz bin Ku Seman.

Menurut beliau, SUHAKAM sepatutnya lebih mengetahui berkenaan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

Manakala, desakan-desakan yang lain biar Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) yang lakukan. CSO tidak mempunyai fungsi atau kuasa sebagaimana SUHAKAM ada, jadi SUHAKAM yang harus menjuarai isu hak asasi manusia ini, bukan sebaliknya.

Tambah beliau lagi, SUHAKAM sepatutnya menjadi sebuah pertubuhan yang bebas, berkecuali dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan melainkan mempertahankan hak asasi manusia yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Fokuslah dalam memperkasakan hak asasi manusia di Malaysia. Apa-apa isu dalam ruang lingkup undang-undang sahaja,” ujarnya.

Ku Amirul Faiz bin Ku Seman seterusnya menegaskan, penubuhan SUHAKAM pada idealnya adalah satu keperluan kepada Malaysia, tidak lain dan tidak bukan untuk melindungi hak asasi manusia dan memperjuangkan hak asasi manusia.

“Perkara ini adalah semangat sebenar ketika SUHAKAM diwujudkan. Namun, hak asasi yang bagaimana harus diperjuangkan dan dalam konteks ini saya merujuk kepada hak asasi yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Ujarnya, kita tidak menafikan keperluan SUHAKAM dalam persekitaran tempatan cumanya kita hanya minta sedikit sahaja daripada SUHAKAM, tidak banyak tetapi sedikit sahaja iaitu dengan kembali kepada Seksyen 4 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

“Inilah hak asasi yang perlu dipertahankan dan diperjuangkan oleh SUHAKAM.”

Tegasnya lagi, SUHAKAM perlu kembali kepada Seksyen 4 tersebut kerana masih banyak isu-isu pelanggaran hak asasi yang timbul belum disantuni secara progresif oleh pihak SUHAKAM termasuk isu yang sama juga berulang-ulang saban tahun.

“Saya bagi contoh isu untuk bersolat yang baru-baru ini timbul dari kalangan pekerja E-hailing dan pelbagai lagi isu hak asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi dilanggar.”

“Walaupun isu ini berulang kali dilaporkan dan ada juga yang telah SUHAKAM suarakan tetapi sehingga kini masih berulang dan belum selesai,” tambahnya.

Katanya lagi, mungkin isu ini remeh dan terpencil, tetapi ia merupakan pelanggaran kepada hak asasi dan isu inilah yang sepatutnya diberi tumpuan oleh SUHAKAM.

Mengakhiri kenyataan Ku Amirul Faiz bin Ku Seman menegaskan, jelas sekarang rakyat mahukan SUHAKAM menjuarai isu hak asasi misalnya hak pekerja dan sebagainya yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bukannya menjuarai isu yang tidak bermoral dan seperti yang tidak sepatutnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: