SUHAKAM Perlu Ikut Perlembagaan Dan Tidak Terima Dana Asing – NGO Islam
KUALA LUMPUR, 19 Jun 2023 – “Ketiganya, kami melihat kemelut dalam SUHAKAM turut berpunca dari dana European Union (EU). Tuduh menuduh dan pertikaian timbul akibat pihak tertentu mahu mengawal dana tersebut. Kami mengambil maklum bahawa penerimaan dana asing ini berlaku dari dahulu lagi.”
“Kami ingin menegaskan bahawa Seksyen 19 Akta SUHAKAM melarang sama sekali SUHAKAM menerima apa-apa dana asing kecuali bagi tujuan pendidikan dan kesedaran. Akta ini diadakan bagi melindungi SUHAKAM dari kepentingan kuasa asing mempergunakan SUHAKAM bagi manfaat mereka,” demikian penegasan dari Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan mewakili lebih daripada 100 organisasi lain susulan beberapa perkembangan berkenaan SUHAKAM kebelakangan ini.
BACA JUGA: SUHAKAM Perlu Kekal Institusi Bebas Dan Patuh Perlembagaan Persekutuan
BACA JUGA: Perlis Laksana Perbicaraan Kes Cerai Secara Tertutup Bermula 1 Julai
BACA JUGA: Menteri Jamin Muktamadkan 10,000 Permohonan Kewarganegaraan Tahun Ini
Tegas NGO-NGO Islam ini, adalah lebih baik dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan SUHAKAM.
“Kesedaran dan pendidikan HAM dari barat kini selalunya mengait dengan penerimaan nilai yang tidak menurut nilai budaya dan keperlembagaan kita. Selain itu butir penerimaan dana asing oleh SUHAKAM sebelum ini dan siapa yang mendapat manfaat dari dana tersebut patut diumumkan secara terbuka.”
Dalam kenyataan sama, mereka juga menggesa usaha bersepadu untuk menjatuhkan SUHAKAM oleh golongan tertentu dihentikan segera.
“Sejak barisan Pesuruhjaya SUHAKAM yang baru bagi penggal 2022-2025 dilantik, dalam tempoh setahun ini kami melihat terdapat usaha bersepadu daripada sesetengah pihak yang ingin mengawal SUHAKAM bagi agenda mereka sendiri yang kian rancak. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan untuk memberi gambaran yang salah dan mengelirukan kepada umum.”
Jelas NGO-NGO Islam itu lagi, SUHAKAM kini lebih inklusif berbanding dahulu. Sesi libat urus SUHAKAM kini bukan sahaja dengan CSO-CSO kiri yang membawa aspirasi liberal tetapi telah terbuka dan menyantuni CSO-CSO Islam yang terlibat dalam advokasi Hak Asasi Manusia (HAM).
Oleh itu, “Kami mahu SUHAKAM kekal terus menjadi lebih inklusif dengan melibatkan semua CSO-CSO Islam untuk terlibat dalam advokasi hak asasi manusia yang akan datang. Dan paling utama ialah SUHAKAM kekal berpegang kepada HAM berlandaskan acuan Perlembagaan kita,” tegas mereka lagi.