NGO

SUHAKAM PATUT KAJI HAK MANUSIA AGAR BERSESUAIAN DENGAN SYARA‘ – Haji Rashidi bin Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), atau dalam bahasa Inggerisnya Human Rights Commission of Malaysia ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1999, dan mula beroperasi pada tahun 2000 setelah kerajaan mendapat bantahan daripada beberapa parti politik terutamanya daripada pihak pembangkang dan juga NGO pro-liberal yang tidak puas hati terhadap tahap hak asasi manusia dalam negara terutamanya kewujudan ordinan ISA yang dikatakan menyekat 3 kebebasan utama iaitu kebebasan bersuara, bergerak dan berhimpun.

2. Melalui kajian SUHAKAM, yang pada peringkat awalnya lebih cenderung kepada desakan daripada parti politik, mendapati “larangan ceramah umum” dianggap mencabuli hak asasi manusia kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh menghalang seseorang itu daripada mengadakan ceramah politik. Oleh kerana itu, dengan kuasa yang ada, SUHAKAM telah menekan pihak PDRM supaya menjelaskan mengenai larangan terhadap ceramah umum kerana berpendapat larangan secara umum untuk berhimpun adalah mencabuli hak asasi manusia.

3. Dari sini bermula segalanya, isu berhimpun secara aman diangkat kerana ia merupakan hak asasi manusia bersifat asas dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Pada dasarnya, SUHAKAM tegas tidak merestui keganasan dalam semua aspek justeru berhimpun secara aman dan menyuarakan pendapat melalui ceramah harus dibenarkan. SUHAKAM berpendapat bukan hak asasi manusia jika manusia dilarang daripada menyuarakan isi hatinya. Ia berhak meluah dan berkongsi dengan sesiapa sahaja selagi tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

4. Islam juga tidak menyekat kebebasan bersuara, bergerak dan berhimpun kerana ketiga-tiga ini merupakan fitrah manusia. Manusia itu bebas bersuara namun Islam juga menggariskan had batasannya. Ia bukan hanya sekadar percakapan lisan, tetapi juga tindakan mencari, menerima dan menyebarkan maklumat atau idea, dengan pelbagai medium juga terkait dengan kebebasan bersuara. Kalau di era millenium ini media sosial seperti melalui twitter, instagram, facebook, whatsapp dan pelbagai lagi memainkan peranan utama.

5. Kebebasan bersuara dalam Islam bukan sehingga seseorang itu bebas untuk memaki-hamun, membuka aib orang lain, melakukan fitnah dan menghasut orang ramai berbuat perkara keji. Menyebar berita palsu dan menghasut orang ramai hingga negara jadi huru hara bukanlah kebebasan yang dibenarkan. Bersuara pada perkara positif itu bagus namun yang negatif mesti disekat kerana ia boleh mendatangkan ketidakstabilan keharmonian hidup apatah lagi dalam negara yang berbilang agama, budaya dan bangsa.

6. Tegahan ini terdapat pada Perkara 9 dan 10 Perlembagaan, yang menyatakan bahawa apa-apa sekatan boleh dikenakan kepada hak untuk mewujudkan perkumpulan atau hak bersuara sekiranya ia penting daripada segi ketenteraman dan keselamatan dalam negeri. Bahasa mudahnya kalau di media sosial, boleh berkongsi maklumat tetapi bukan maklumat yang palsu dan dusta, kerana maklumat-maklumat palsu biasanya berakhir dengan kemudaratan daripada mendatangkan kebaikan.

7. Kebebasan bergerak pula bermaksud seseorang itu mempunyai hak untuk bebas daripada disekat, dikurung, dikandang, dipantau, diawasi, atau lebih tepat lagi dipenjarakan tanpa sebab, melainkan ada mudarat yang akan timbul darinya jika ia bebas. Dalam konteks yang lebih luas, menyekat kebebasan seseorang itu bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat dengan dipenjarakannya tanpa memberi keadilan membela diri, seperti tahanan rumah iaitu tidak boleh keluar dari rumah, atau tahanan negeri iaitu tidak boleh keluar dari kawasan di dalam negeri itu sahaja, jika keluar dia akan dikenakan hukuman berat adalah salah dan bercanggah juga dengan Syara’.

8. Akhir sekali kebebasan berhimpun, yang pada peringkat awalnya adalah tuntutan parti-parti politik pembangkang yang mendakwa larangan berhimpun itu merupakan sekatan kebebasan bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen. Dengan ertikata pemerintahan yang dipilih oleh rakyat, dan kuasa politik itu pula diagihkan secara meluas dalam kalangan rakyat dan kuasa kerajaan yang ada hanyalah wujud berdasarkan persetujuan rakyat. Dengan demikian berhimpun itu sendiri sudah sebahagian daripada amalan berdemokrasi.

9. Jika disekat kebebasan berhimpun akan menjadikannya sama seperti sistem komunis, yang bercakap tentang kuasa rakyat tetapi diperintah secara kuku besi di bawah keputusan mutlak seorang pemimpin diktator. Perkataan demos yang berasal dari bahasa Yunani bererti rakyat, dan resamnya rakyat memang suka berhimpun.

10. Bagi golongan liberal kebebasan berpolitik ini membuatkan mereka mengutip ucapan Abraham Lincoln bagi menggambarkan kuasa rakyat: “government of the people, by the people, for the people..”. Begitu juga dengan John Kennedy, ketika dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-35, berkata: “My fellow Americans, ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country.” Ucapan-ucapan ini menjadi retorik politik bagi mengaburi rakyat supaya memilih mereka sebagai Presiden.

11. Kebebasan melampau perlu dipantau dan jika terpaksa perlu disekat dan negara mempunyai undang-undang untuk itu, contohnya seperti kebebasan bersuara:

• Akta Hasutan 1948 – perbuatan menghasut melalui ucapan, penerbitan, perbuatan dan sebagainya.
• Akta Rahsia Rasmi 1972 – Rahsia rasmi dan keselamatan negara.
• Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 – merujuk kebebasan berakhbar.
• Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – merujuk undang-undang siber dan pemantauan kerajaan.

12. Kesimpulannya, negara memberi kebebasan kepada warganegara dengan syarat tidak sampai melanggar peruntukan undang-undang. Justeru, SUHAKAM juga tertakluk di bawah peraturan ini. Ia bebas membuat kajian dan memberi pendapat tetapi tidak boleh sama sekali bercanggah dengan apa yang telah sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan hukum Syara’. Jika bercanggah, maka kerajaan disaran supaya kaji semula ahli lembaga yang dilantik.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media PEMBELA
Ketua Aktivis MUAFAKAT

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button