SUHAKAM Gesa Kerajaan Mansuhkan SOSMA
PETALING JAYA, 05 Ogos 2023 – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa Kerajaan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan undang-undang draconian yang lain yang membenarkan penahanan tanpa dibicarakan.
Menurut Pengerusi SUHAKAM, Rahmat Mohamad, Seksyen 4 SOSMA yang membenarkan penangkapan, penahanan dan lanjutan penahanan seseorang individu tanpa pengawasan kehakiman adalah melanggar prinsip asas hak asasi manusia.
Kata Rahmat, SUHAKAM telah menerima memorandum mengenai mogok lapar oleh tahanan SOSMA di Penjara Sungai Buloh dan Alor Setar pada 30 Julai baru-baru ini dan seterusnya melawat kedua-dua penjara pada 01 Ogos untuk menemubual tahanan SOSMA serta mendapatkan maklumat berhubung isu mogok lapar.
BACA JUGA: PRN: Berpada-Pada Pasang Bendera Parti Pada Kenderaan – Anthony Loke
BACA JUGA: PRN: Rakyat Mahu Wakil Rakyat Dipilih Mampu Selesai Masalah Banjir
BACA JUGA: Rampasan 47 Ular Dibawa Penumpang Dari Malaysia, JKDM Beri Penjelasan
Jelas beliau, mogok lapar itu dimulakan kerana rasa tidak puas hati tahanan terhadap perbicaraan yang berpanjangan dan kerap ditangguhkan serta bantahan mereka terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan Kumpulan jenayah terancang.
“SUHAKAM akan meneruskan siasatan terhadap aduan itu dan akan bekerjasama dengan keluarga tahanan dan agensi Kerajaan yang berkaitan untuk meneruskan tindakan susulan,” kata beliau.
Para tahanan di Penjara Alor Setar menamatkan mogok lapar mereka pada 01 Ogos manakala tahanan di Penjara Sungai Buloh menamatkan mogok lapar mereka pada keesokan harinya.