Tempatan

SUHAKAM Dipercayai Teruskan Kajian Iktiraf Transgender – Prof Madya Dr Rafidah Hanim

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 30 Mac 2022 – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dipercayai meneruskan kajian mengenai pengiktirafan golongan transgender di sisi undang-undang.

Profesor Madya Dr Rafidah Hanim, seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendedahkan perkara tersebut menerusi beberapa hantaran Facebook beliau dengan berkongsikan iklan mengenai kajian tersebut yang aktif disebarkan.

Beliau turut berkongsi satu gambar yang menunjukkan rintihan ibu bapa di Barat yang bergelut dengan silibus anak-anak mereka.

“Tugasan anak lelaki saya yang berada di Darjah 1 semalam. Edmonds School District, Washington. Saya jelak dengannya,” demikian antara luahan ibu bapa yang dikongsikan oleh Prof Rafidah.

Kata beliau lagi, “SUHAKAM nampaknya meneruskan kajian Feasibility of Legal Recognition of Transgenders. Salah satu langkah pertama untuk kita menempuh keadaan seperti ibu bapa di Barat.”

Tegas beliau, pihak bertanggungjawab dalam SUHAKAM perlu berfikir dengan teliti mengenai maslahah ummah kerana memberi pengiktirafan undang-undang kepada gender berkenaan tidak menyelesaikan masalah diskriminasi, malah tindakan tersebut boleh menyebabkan berlaku serangan balas.

Tambah Prof Rafidah, pengiktirafan transgender di Malaysia akan mengakibatkan banyak implikasi. Antaranya, undang-undang Islam yang tidak membenarkan lelaki berkelakuan seperti wanita terbatal, mengganggu-gugat undang-undang kekeluargaan, menafikan hak bagi ruangan selamat wanita dan penafian hak wanita dalam sukan.

Dalam hantaran lain, beliau menyebut berkenaan negara Australia yang menetapkan bahawa platform yang dicipta khas untuk wanita adalah satu kesalahan sekiranya tidak memasukkan golongan transgender.

Mengulas lanjut, Prof Rafidah mengatakan bahawa Malaysia menuju ke arah yang sama dan pintu dibuka oleh SUHAKAM.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pesuruhjaya-pesuruhjaya Muslim dan yang berlatarbelakangkan Syariah serta bidang kekeluargaan Islam yang masih tidak bersuara mengenai perkara tersebut.

“Apakah pendirian mereka? Jika mereka tidak bersetuju, wajar untuk menzahirkan pendirian mereka.”

 

Leave a Reply

Back to top button