Sugarbook Medium Tersirat Promosi Pelacuran: Objek Seks Dan Diperkudakan Oleh Pemodal Kapitalis – Dr Kamarul Zaman Yusoff
KUALA LUMPUR – Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menyangkal dakwaan Darren Chan yang menyatakan Sugarbook adalah satu aplikasi online dating between two consenting adults yang berumur 18 tahun ke atas.
Dr Kamarul berkata, memang benar, secara tersurat ia bukanlah satu aplikasi pelacuran atau menggalakkan pelacuran, tetapi realitinya seperti dinyatakan oleh mahkamah di Belgium atau oleh sugar baby di Malaysia yang terlibat, ia secara tersirat adalah medium yang membantu kegiatan sebegitu.
Mengenai kenyataan Darren Chan yang turut mendakwa bahawa kegiatan sugar baby dan sugar daddy ini menjurus kepada women empowerment, iaitu wanita yang berusaha untuk menanggung kehidupan melalui pekerjaan sugar baby, Dr Kamarul menyifatkan, kegiatan sugar baby dan sugar daddy bukanlah menjurus kepada women empowerment, tetapi penghinaan kepada golongan wanita malah lebih menjurus kepada women enslavement di mana mereka dijadikan objek seks dan diperkudakan oleh pemodal kapitalis semata-mata.
Baru-baru ini, Darren Chan telah ditangkap polis dan kemudian ditangkap lagi atas kesalahan di bawah pelacuran dan kes rogol. Syabas kepada PDRM, KKMM, KPWKM, KPT dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bekerjasama untuk mengatasi isu ini.
Namun, apakah itu sudah mencukupi?
Dr Kamarul berkata, tindakan perundangan memang diperlukan untuk membanteras sehingga masalah Sugarbook ini selesai di dalam erti kata mendakwa operatornya dan menutup operasinya di negara ini. Tetapi ini tidak mencukupi kerana ia memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak, termasuk dalam aspek pendidikan anak-anak, penjagaan kebajikan pelajar universiti dan sebagainya.
Soalnya, kenapakah terdapat beberapa media seolah-olah membela dan mempromosi aktiviti Sugarbook ini?
Dr Kamarul berkata, beliau sendiri ada memerhatikan bahawa memang terdapat beberapa media atas talian yang seolah-olah membela dan mempromosi aktiviti Sugarbook ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Malah lebih mengejutkan lagi agensi berita nasional BERNAMA pun pernah memberi ruang kepadanya, dan ini pada pandangan saya merupakan satu perkara yang mengejutkan.”
“Seolah-olah mereka sudah mati deria rasa dan turut dikaburi dengan pengaruh materialisme semata-mata,” katanya.
Ujar beliau lagi, ada kemungkinan juga ini merupakan agenda terancang pihak tertentu untuk merosakkan anak bangsa kita, yang memerlukan kita semua berganding bahu mengatasinya.
Jelasnya, negara Barat seperti Perancis dan Belgium memenjarakan individu yang mempromosi kegiatan sugar baby di atas kesalahan mempromosi pelacuran.
Soalnya sekarang, kenapa di Malaysia ramai pula yang membela Darren Chan atas perkara yang serupa? Apakah yang membela ini tidak faham atau pun mereka mempunyai suatu agenda yang lain dengan berbuat demikian?
Banyak pihak telah membuat laporan polis dan bercakap di media massa menentang isu sugar daddy dan sugar baby ini.
Apakah kita tidak boleh memberi tekanan kepada pihak IPTA dan IPTS untuk memberi perhatian lebih ke atas isu kebajikan pelajar-pelajar mereka seperti kebajikan kewangan, sokongan emosi dan perkara berkaitan supaya para pelajar tidak terjebak ke dalam aktiviti seperti pelacuran untuk menyara hidup?
“Keadaan yang berlaku pada hari menunjukkan terdapat kepincangan dalam soal pembangunan sahsiah anak-anak muda kita sehingga mudah terjebak dan menyokong aktiviti seperti itu.”
Pengasas Sugarbook Didakwa Hari Ini
Menurut Dr Kamarul, setelah direman sejak 18 Februari lalu dan dari maklumat terkini yang beliau terima, akhirnya hari ini, 24 Februari 2021, jam 9.00 pagi, pengasas Sugarbook, Darren Chan, akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Mengikut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Dato’ SAC Fadzil Ahmat, Darren Chan akan didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang menimbulkan khianat awam.
“Alhamdulillah, tak sia-sia usaha mereka yang membuat laporan polis beramai-ramai terhadap beliau sebelum ini,” kata Dr Kamarul ketika dihubungi pihak Samudera.my .