Tempatan

Sugarbook: Fokus Pada Bantuan Menyeluruh Pelajar – Rusni Tajari WAO

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA – Baru-baru ini media massa dikejutkan dengan isu Sugarbook, sebuah aplikasi atas talian yang mempertemukan sugar baby dan sugar daddy.

Ia menjadi isu panas dan tular kerana aplikasi ini dianggap sebagai aplikasi pelacuran halus, malah pengasasnya, Darren Chan didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan khianat serta kegentaran awam di Mahkamah Majistret Shah Alam, kelmarin.

Walaubagaimanapun, Darren dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Samudera.my cuba mendapatkan pandangan dari Pertubuhan Pertolongan Wanita, Women’s Aid Organisation (WAO) yang merupakan sebuah organisasi yang turut memperjuangkan Hak Asasi Wanita atau Pemerkasaan Wanita dan Feminisme.

Pegawai Kanan Advokasi WAO, Rusni Tajari berkata, data yang dikeluarkan oleh platform ‘sugar dating’ itu mendedahkan bahawa terdapat lebih 400,000 ahli aktif di Malaysia termasuklah pelajar universiti.

Perkara ini seterusnya menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, ramai yang membuat penilaian moral terhadap aplikasi tersebut dan juga penggunanya.

Oleh itu, pihaknya menggesa agar kerajaan, universiti dan masyarakat untuk lebih memfokuskan kepada hak pelajar dan akses mereka kepada sumber kewangan.

Menurutnya, temu janji berasaskan transaksi atau ‘sugar dating’ biasanya sering dicirikan kepada golongan yang lebih tua atau orang kaya yang boleh memberikan sokongan kewangan kepada orang muda sebagai pertukaran dalam perhubungan.

“‘Sugar dating’ mungkin merupakan pilihan bagi sesetengah orang dan jalan kepada kebebasan kewangan dan dalam masa yang sama kita perlu menangani kesenjangan dan tekanan yang mendorong pelajar untuk membuat pilihan sebegini,” katanya.

Ketika ditanya adakah WAO bersetuju dengan langkah kerajaan yang telah mengambil tindakan terhadap laman sesawang, aplikasi dan pengasas Sugarbook itu, Rusni Tajari mendakwa, daripada mengharamkan aplikasi ‘sugar dating’ ini, kita seharusnya meneroka langkah-langkah untuk memastikan peluang dan hak yang lebih baik untuk pelajar dan anak muda.

“Ini termasuklah bantuan kewangan yang menyeluruh dalam pembelajaran, peluang pekerjaan dan latihan kemahiran serta jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif.”

Katanya lagi, pengharaman aplikasi boleh menyebabkan kehilangan punca sumber kewangan yang secara tiba-tiba kepada pelajar dan anak muda yang menggunakan aplikasi ini.

“Hal ini boleh mendorong mereka untuk melakukan temu janji berasaskan transaksi yang lebih berbahaya dan berisiko sekaligus menyebabkan pelajar dan anak muda terdedah kepada penderaan pula.”

Sebaliknya, Rusni mahu pihak berkuasa memberi fokus kepada perlindungan data peribadi pengguna untuk melindungi daripada pelanggaran privasi dan gangguan siber.

“Selain itu, kita harus meningkatkan pendidikan mengenai hak dan kesihatan reproduktif dan seksual,” katanya.

Ini termasuklah mengenai persetujuan dan autonomi badan untuk membantu dan memberdaya pelajar dan anak muda dalam membuat keputusan yang selamat.

Menurut Rusni Tajari lagi, tumpuan haruslah dijuruskan kepada hak dan sumber kewangan.

“Kita mesti mendengar dan menghormati pelajar dan anak muda termasuk berusaha untuk memahami dengan lebih baik mengenai realiti dan keperluan kehidupan mereka di zaman yang serba mencabar ini,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: