Subsidi RON95 Yang Dinikmati T20 Boleh Bina 160 Sekolah – Kementerian Kewangan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 Julai 2022 – Golongan kaya T20 sedang menikmati subsidi petrol RON95 sehingga berjumlah RM8 bilion pada tahun ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
“Sebagai perbandingan, jumlah RM8 bilion boleh digunakan untuk membina 16 buah hospital dengan kapasiti 300 katil bagi setiap hospital, atau 160 buah sekolah dengan 30 bilik darjah bagi setiap sekolah,” kata Kementerian Kewangan ketika menjawab soalan Datuk Seri Haji Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian.
Disebabkan hal ini, Kerajaan bakal mengkaji semula mekanisme subsidi petrol agar lebih bersasar dan cuma ditumpukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Tanpa ketirisan subsidi RON95 kepada golongan T20, penjimatan tersebut dapat disalurkan sebagai bantuan kepada golongan berpendapatan rendah melalui pembayaran seperti BKM atau bantuan tunai lain yang bakal digandakan.”
Sebelum ini Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pernah mendedahkan bahawa Kerajaan terpaksa menanggung bebanan tekanan kewangan sebanyak RM28 bilion pada tahun ini sekiranya subsidi minyak sedia ada dikekalkan ketika kenaikan harga pasaran minyak dunia ketika ini.
Beliau memaklumkan harga minyak mentah dunia telah mengalami kenaikan kebelakangan ini ekoran dari peperangan Rusia dan Ukraine.
“Sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 (RM418) setong, jumlah subsidi bagi keseluruhan tahun ini dijangka mencecah RM28 bilion, berbanding RM11 bilion bagi tahun lalu.”
Menurut beliau, Kerajaan terpaksa menanggung kos RM1.65 bagi setiap liter RON95 minyak yang dibeli oleh rakyat memandangkan kos sebenar ialah RM3.70 seliter tetapi dijual pada harga RM2.05 sahaja.