Subsidi Minyak Masak Botol Dihapuskan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 22 Jun 2022 – Kerajaan akan memansuhkan pemberian subsidi minyak masak tulen berbotol dari dua ke lima kilogram bermula 1 Julai ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram (kg) masih diteruskan.
“Pemansuhan subsidi tidak termasuk yang RM2.50 dijual dalam polybag 1kg, itu diteruskan untuk semua warganegara dan pengguna.”
“Tetapi yang dimansuhkan subsidinya, saya sebutkan sekali lagi yang berbotol, yang diberi subsidi pada tahun lepas.”
“Sebenarnya, program subsidi minyak masak tulen untuk botol ini hanyalah sementara, ketika pelaksanaan pada 2021 itu kita buat dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu Ogos, September dan Oktober.”
“Bagaimanapun, ketika itu Kerajaan berpendapat kita patut lanjutkan dan disebabkan itu ia dilaksanakan sehingga kini. Kini Kerajaan merasakan tibalah masa untuk dimansuhkan supaya boleh memberi fokus bagaimana untuk membantu golongan yang memerlukan.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Mengenai Isu Harga dan Bekalan bersama pemain-pemain industri, persatuan pengguna, ahli akademik, ahli ekonomi dan ketua-ketua pengarang media di Dewan Serbaguna KPDNHEP pada Selasa lepas.