Subsidi Manjakan Rakyat – Penganalisis
KUALA LUMPUR, 16 Jun 2023 – Amalan pemberian subsidi telah merosakkan struktur ekonomi negara dan memanjakan rakyat secara keseluruhan, kata penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid.
Ujarnya, bukan itu sahaja, amalan yang disifatkannya sebagai amalan populis ini turut menjadikan orang ramai tidak cekap dalam penggunaan subsidi.
BACA JUGA: Cas RM1 Klinik Kerajaan Dikekalkan
BACA JUGA: Pantai Morib Ditutup Sehingga 2 Julai
BACA JUGA: Suspek Perlombongan Haram Mati Dalam Tahanan SPRM
“Kita perlu ada keinsafan yang tinggi bahawa subsidi yang diberikan ini memanjakan rakyat, termasuk orang awam dan orang korporat. Kita beri subsidi ini, ia telah merosakkan struktur ekonomi dengan menjadikan orang ramai tidak cekap dan efisien dalam penggunaan bantuan tersebut,” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambahnya, langkah yang seharusnya Kerajaan lakukan memberi tumpuan kepada meningkatkan kadar gaji sehingga pendapatan tersebut boleh menampung keperluan kehidupan.
Hal ini kerana, bagi beliau, sekiranya pendapatan isi rumah mencukupi dan selesa, rakyat tidak akan lagi menghiraukan sama ada subsidi diteruskan atau sebaliknya.
“Selain itu, gaji lebih baik, pendapatan isi rumah lebih tinggi dan kita boleh berbelanja secara lebih bermaruah, tanpa perlu mengharapkan kepada subsidi-subsidi seperti sekarang. Ini yang kita harapkan,” katanya lagi.