Tempatan

Status Belum Batal, Rizab Melayu Bertukar Milik Bukan Melayu – Datuk Hamidah

IPOH – Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Osman menjelaskan, banyak pihak menghubunginya berkenaan isu Tanah Rizab Melayu selepas beliau membangkitkan agar tanah yang diteroka untuk penanaman Musang King di Raub dijadikan Rizab Melayu.

Ini termasuklah kes di Manjung, Perak baru-baru ini.

Menyentuh isu yang sedang panas dibincangkan ini, Datuk Hamidah memberitahu bahawa pihaknya bersama rakan-rakan peguam sedang dalam proses menyiapkan afidavit untuk difailkan ke mahkamah dalam tempoh dua minggu ini.

“Rakan-rakan peguam saya sedang menyiapkan afidavit untuk difailkan ke mahkamah bagi proses perbicaraan dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana boleh berlakunya pertukaran hak milik kepada bukan Melayu sedangkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak tertakluk di bawah Enakmen Rizab Melayu (ERM) (Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) yang mana kuasa membuat perisytiharan terletak atas Menteri Besar Perak dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM), Datuk Hamidah berkata,

“Dalam isu Tanah Rizab Melayu di Manjung ini, ianya hanya melibatkan tukar hak milik dan pecah sempadan yang mana tidak melibatkan Menteri Besar atau Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).”

Menurutnya, Tanah Rizab Melayu sepatutnya tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu kecuali pembatalan status Tanah Rizab Melayu dibuat.

Bagaimanapun jelas beliau, dalam kes ini tanpa pembatalan status, tanah tersebut telah dipindah milik kepada bukan Melayu.

“Makna kata sehingga ke hari ini tanah yang telah dipecah kepada 317 lot itu masih berstatuskan Tanah Rizab Melayu tapi malangnya 100 peratus pemiliknya adalah bukan Melayu.”

Ditanya adakah pemilikannya sah dan angkara siapa yang patut bertanggungjawab, beliau berkata, sepatutnya sudah tentulah tidak sah tetapi geran pemilikan sudah dikeluarkan. Hanya Pejabat Tanah Dan Galian yang mengeluarkan geran.

Soal beliau, apa akan jadi terhadap orang Melayu selepas ini jika Tanah Rizab Melayu terus hilang atau dibatalkan statusnya.

Apa maknanya lagi bumi Tanah Melayu tetapi sudah tidak ada orang Melayu yang memilikinya?

“Mereka bertindak bertentangan dengan Enakmen Rizab Tanah Melayu.”

Datuk Hamidah sebelum ini pernah menyatakan bahawa kemungkinan wujud unsur salah laku oleh pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam pengendalian Tanah Rizab Melayu di negeri Perak.

Terdahulu, dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Perak mendedahkan kawasan seluas 649.19 hektar tanah berstatus Tanah Rizab Melayu di mukim Sitiawan, Manjung diberikan hak milikan kepada bukan Melayu.

Perkara ini dikesan melalui pencarian rasmi yang dibuat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Isu ini menjadi semakin panas apabila pihak SPRM negeri, mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka akan membuat laporan polis atas dakwaan Datuk Hamidah cuba melaga-lagakan antara kedua-dua agensi.

Dakwaan yang kemudian dijawab Datuk Hamidah bahawa beliau mempunyai bukti dan tidak berniat untuk melaga-lagakan, tetapi meluahkan kekecewaannya yang dilayan seperti bola dalam usahanya menyelesaikan masalah ini.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button