Tempatan

Status Anak Muhammad Sajad, Kerajaan Perlu Ambil Tindakan – Dato’ Zainul Rijal

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2021 – Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar dalam temubualnya dengan wartawan Samudera.my mahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyiasat status pengangkatan anak-anak angkat Muhammmad Sajjad.

Dalam masa yang sama, beliau mahu Majlis Agama Islam yang berkenaan untuk memainkan peranan perihal kebajikan kanak-kanak tersebut.

“Mungkin ramai yang hanya menumpukan isu Muhammad Sajjad melarikan diri keluar negara sahaja tanpa sedar semasa di Malaysia beliau juga memelihara beberapa orang kanak-kanak yang dipanggil beliau anak-anak itu. Isu kanak-kanak tersebut perlu juga diberi perhatian oleh pihak berkuasa demi menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut.”

“Sebenarnya kita tidak tahu apakah kanak-kanak tersebut telah diambil oleh Muhammad Sajjad melalui Akta Pengangkatan 1952 ataupun tidak,” kata beliau.

Ujar Pengerusi Peguam-Peguam Muslim Malaysia itu, jika ianya dilakukan melalui Akta tersebut sudah pasti ada terma dan syarat dalam perintah yang diputuskan oleh Mahkamah.

“Terma dan syarat tersebut perlu dipatuhi. Kesan dari perintah pengangkatan tersebut semua obligasi hak dan tanggungjawab ke atas kanak-kanak tersebut berpindah kepada ibu bapa angkat tersebut di mana kebajikan kanak-kanak tersebut adalah faktor yang paling utama.”

Menyentuh persoalan bolehkah kanak-kanak tersebut ditinggalkan begitu sahaja, Dato’ Zainul Rijal berkata, dana kewangan dan tempat tinggal sahaja tidak cukup untuk memenuhi kebajikan kanak-kanak.

Itu kerana kebajikan adalah perkara yang paling penting sekali.

Jika kanak-kanak ditinggalkan oleh mana-mana ibu bapa, pasti kebajikan tersebut terhakis dan hal yang demikian tidak baik untuk tumbesaran kanak-kanak tersebut.

“Memberikan dana kewangan dan tempat tinggal sahaja tidak mencukupi kerana layanan kasih sayang ibu bapa juga sangat penting,” ujar beliau.

“Apatah lagi dalam keadaan yang dilaporkan beberapa aset Muhammad Sajjad sudah pun dilelong oleh pihak tertentu. Hal ini boleh menggambarkan tiada jaminan untuk nafkah kanak-kanak tersebut ditinggalkan untuk mereka,” tambahnya lagi.

Kerana itulah beliau mahu JKM dan juga Majlis Agama Islam yang berkenaan untuk memainkan peranan masing-masing dalam isu kebajikan anak-anak Muhammad Sajjad.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam perkara ini. Mereka perlu menyiasat status kanak-kanak tersebut sama ada, ada perintah pengangkatan ataupun tidak.”

“Jika Muhammmad Sajjad tidak mempunyai sebarang perintah pengangkatan beliau tidak mempunyai hak untuk memelihara kanak-kanak tersebut mengikut undang-undang.”

Tegas beliau, JKM juga perlu membuat penilaian tentang kebajikan kanak-kanak tersebut setelah ditinggalkan Muhammad Sajjad.

“Jika kebajikan tersebut dihakis, Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu bertindak tegas dan pantas bagi mengelakkan kesan jangka panjang kepada kanak-kanak tersebut.”

Begitu juga Majlis Agama Islam yang berkenaan perlu juga memainkan peranan kerana kanak-kanak tersebut adalah kanak-kanak Islam.

Apatah lagi terdapat peruntukan dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang menyatakan demi kebajikan kanak-kanak tersebut, mereka boleh diletakkan dalam jagaan mana-mana orang atau badan yang sesuai.

Dalam konteks ini suatu perintah dari Mahkamah Syariah perlu diperolehi terlebih dahulu.

“Soalan mengapa Muhammad Sajjad tidak membawa kanak-kanak tersebut bersama perlu dijawab sendiri oleh Muhammad Sajjad.”

“Namun isu perundangan yang dihadapi adalah isu beliau sahaja. Ia tidak melibatkan kanak-kanak dalam jagaan beliau.”

“Kanak-kanak tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang ada demi masa depan mereka. Tidak adil kanak-kanak tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa pembelaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun Majlis Agama Islam Negeri,” kata Dato’ Zainul Rijal mengakhiri kenyataan.

Sajad dilaporkan mempunyai sepasang anak angkat kembar tidak seiras berusia 5 tahun.

Leave a Reply

Back to top button