Tempatan

Statistik Tunjukkan Kadar Perkahwinan Meningkat, Perceraian Menurun Pada Tahun 2021

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 November 2022 – Statistik perkahwinan dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2021 menunjukkan peningkatan manakala statistik perceraian pula menurun.

Menurut data yang dikongsikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perkahwinan meningkat sebanyak 15.4 peratus, daripada 186,297 perkahwinan pada 2020 kepada 214,943 pada tahun 2021.

Bagi perkahwinan orang Islam, data menunjukkan peningkatan sebanyak 21.0 peratus di mana 176,002 perkahwinan didaftarkan pada 2021 berbanding 145,443 perkahwinan pada 2020.

Akan tetapi, perkahwinan orang bukan Islam menurun sebanyak 4.7 peratus, daripada 40,854 (3.5 CMR) pada 2020, kepada 38,941 (3.3 CMR) pada 2021.

Umur median untuk pengantin perempuan kekal sama untuk kedua-dua 2020 dan 2021 pada umur 26 tahun, manakala umur median untuk pengantin lelaki juga kekal sama untuk kedua-dua tempoh, pada umur 28 tahun.

Lelaki berkahwin pada kadar 45.8 bagi setiap 1,000 lelaki yang belum berkahwin berumur 18 tahun ke atas.

Bagi perceraian pula, jumlah kes perceraian di negara ini menurun 7.1 peratus daripada 47,242 kes pada 2020 kepada 43,934 tahun lepas.

Jumlah perceraian orang Islam menurun sebanyak 16.4 peratus pada 2021 dengan hanya 31,650 kes direkodkan berbanding 37,853 pada 2020.

Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, penurunan itu mungkin disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga ke 21 Nov 2021, dan jumlah kes terhad yang boleh dikendalikan mahkamah berikutan Prosedur Pperasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun bagi orang bukan Islam, kes perceraian meningkat 30.4 peratus dari 9,419 pada 2020 kepada 12,284 tahun lepas dengan Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur merupakan tiga negeri mencatatkan kadar perceraian bukan Islam tertinggi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: