Sri Lanka Isytihar Sudah Bankrap
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
COLOMBO, 09 Julai 2022 – Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe mengisytiharkan negara pimpinannya sudah bankrap pada Selasa baru-baru ini.
“Kita kini mengambil bahagian dalam rundingan sebagai sebuah negara yang muflis. Oleh itu, kita perlu menghadapi situasi yang lebih sukar dan rumit daripada rundingan sebelum ini.”
Sri Lanka kini berada dalam krisis kewangan terburuk dalam tempoh tujuh dekad, selepas rizab pertukaran asingnya menjunam ke paras terendah, lapor CNN.
Negara itu juga kehabisan dolar untuk membayar barangan import penting termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api.
“Dari segi bahan api dan makanan, negara kita tidak dapat tidak akan berdepan dengan krisis ini. Bahan api berkurangan. Harga makanan naik. Disebabkan krisis global (perang Rusia-Ukraine) yang berlaku baru-baru ini, keadaan kita menjadi lebih teruk lagi di mana kita dalam keadaan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’,” kata Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera.
Ahad lalu, Wijesekera mengatakan bahawa baki bahan api negara itu hanya boleh bertahan untuk sehari sahaja lagi.
Kekurangan bekalan makanan dan bahan api menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat, menyaksikan orang ramai beratur panjang setiap hari bagi mendapatkan bahan api untuk memasak.
Sri Lanka berdepan dengan krisis ini selepas pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi mereka yang bergantung kepada pelancongan di samping mengurangkan kiriman wang daripada pekerja luar negara.
Ia ditambah pula dengan pengumpulan hutang kerajaan yang besar, kenaikan harga minyak dan larangan import baja kimia tahun lalu yang memusnahkan sektor pertanian, lapor Utusan.
Terdahulu, Perdana Menteri Sri Lanka pernah memberi amaran bahawa negara itu akan mengalami kekurangan makanan susulan keputusan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa pada tahun lalu yang melarang penggunaan baja kimia secara tiba-tiba demi memastikan tanaman di negara itu ditanam secara organik.
Tindakan ini menyebabkan hasil tanaman berkurang selain merencatkan pengeluaran hasil negara terutamanya pengeluaran beras.
Berikutan krisis bankrap yang melanda, pihak berkuasa terpaksa melanjutkan penutupan sekolah, memberitahu penjawat awam untuk bekerja dari rumah dan mengehadkan pengagihan bahan api kepada perkhidmatan penting ketika negara bergelut untuk membayar penghantaran bahan api baharu.