Tempatan

Pasar Terapung Ala Thai Dibuka Di Sungai Melaka Februari Depan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 26 Disember 2023 – Pasar Terapung mengambil konsep seperti di Thailand dan Indonesia akan mula dibuka di Sungai Melaka pada Februari tahun depan.

Memetik laporan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk TPr. Murad Husin berkata, pasar atas air yang mengumpulkan sehingga 50 peniaga akan ditempatkan bermula dari Dataran Pengkalan Rama sehingga ke Sungai Melaka Fasa Dua.

“Disebabkan ini adalah produk pelancongan baharu, kita masih dalam proses kajian dan percubaan pelaksanaan. Apabila dibuka Februari ini, pembeli akan melakukan jual beli dengan berada di tebing sungai terlebih dahulu.”

Tambah beliau, “Sekiranya tiada apa-apa masalah, kelak barulah kita akan perkenalkan konsep lain contohnya pembeli juga boleh menaiki bot untuk melawati gerai-gerai terapung itu. Selain peniaga atas bot, terdapat juga peniaga atas darat melibatkan kira-kira 200 kios.”

Jelasnya, pelbagai barangan akan dijual di pasar terapung itu termasuk makanan, minuman dan cenderahati.

“Ini adalah produk pertama diperkenalkan di Malaysia, jadi rakyat kita tidak perlu lagi ke Thailand atau Indonesia untuk merasai pengalaman ini.”

Justeru, beliau memaklumkan kepada para peniaga yang berminat untuk menyertai Pasar Terapung Sungai Melaka boleh menghubungi PPSPM bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: