Tempatan

SPRM Syaki Kartel Di Pengurusan Tertinggi MBSA Monopoli Projek

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 26 November 2022 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki kewujudan kartel dalam pengurusan tertinggi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang didakwa memonopoli projek mega di bandaraya itu.

Lapor berita tempatan, kartel itu turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kuasa untuk menyerahkan tender secara runding terus kepada pihak tertentu.

Antara projek yang dipercayai dimonopoli kartel adalah projek tebatan banjir Shah Alam Sustainable Urban Drainage Masterplan (SASuD-Pelan Tindakan Banjir Shah Alam) yang bernilai hampir RM400 juta.

SPRM turut mengesan kerja yang dipecahkan kepada projek kecil yang bertindih dengan fungsi projek yang sepatutnya berada di bawah arahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut dimasukkan di bawah projek SASuD.

“Ia diagihkan kepada syarikat kartel dan kroni membabitkan pihak pengurusan tertinggi dan Ahli Majlis MBSA. Terdapat juga projek yang langsung tiada kaitan dengan projek SASuD dimasukkan di bawah pelan induk tebatan banjir ini,” dedah sumber berkenaan.

Sumber turut membongkarkan bahawa kartel itu wujud bagi semua projek, bukan hanya melibatkan tebatan banjir.

Difahamkan, kehadiran kartel menyebabkan hanya pihak yang dipercayai rapat dengan kartel sahaja dilantik menjadi kontraktor projek malah mengakibatkan projek tersebut tidak dijalankan seperti yang dikehendaki.

Mengulas lanjut, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat mengenai projek SASuD termasuk berkaitan kewujudan kartel. Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Sebelum ini, MBSA dikatakan memperuntukkan kira-kira RM157 juta bagi beberapa perancangan di bawah SASuD yang melibatkan tiga fasa iaitu jangka masa panjang, pendek dan sederhana.

Antara hala tuju penyediaan projek tersebut adalah untuk menaik taraf sistem perparitan utama bandar itu ke arah reka bentuk minimum yang boleh menampung selama 50 tahun average recurrance interval (ARI).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: