Tempatan

SPRM Perlu Siasat Pelantikan Pembangun Aplikasi MySejahtera – Ketua Wira PERKASA Malaysia

SPRM Perlu Siasat Pelantikan Pembangun Aplikasi MySejahtera – Ketua Wira PERKASA Malaysia

KENYATAAN MEDIA WIRA PERKASA MALAYSIA

8 Rabi’ulawal 1444 Hijri | 5 Oktober 2022

SPRM PERLU SIASAT PELANTIKAN PEMBANGUN APLIKASI MySEJAHTERA

Merujuk kenyataan akhbar dari MalaysiaGazette, “Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur – PAC”

1. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur ditetapkan kerajaan dan juga tiada satu minit mesyuarat tercatit atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft sebagai syarikat pembangunan aplikasi tersebut, kecuali perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi pihak Kerajaan, dan KPISoft yang juga dikenali sebagai ENTOMO.

2. Manakala konsep CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan Kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Penetapan harga siling yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi, selain bercanggah dengan konsep CSR.

3. Wira PERKASA Malaysia meminta SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) membuka kertas siasatan di atas kenyataan yang dibuat oleh pengerusi PAC itu. Adakah anugerah kontrak yang dijadikan sebagai jalan alternatif untuk rundingan terus ini ada berkaitan dengan unsur rasuah atau tidak sehinggakan PAC mendapati Kerajaan telah melanggar prosedur perolehan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Dengan siasatan ini juga, rakyat berhak tahu adakah ada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa dari mana-mana pihak atau tidak.

4. Wira PERKASA Malaysia mendesak Kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan juga harus tampil memberi penjelasan kenapa rundingan ini berlaku sampai tidak mengikut sebarang ketetapan oleh Kerajaan. Ini menandakan seolah Kerajaan terburu-buru memberi rundingan terus ini kepada pihak tersebut. Ia menampakkan satu ketirisan dalam urusan tadbir seolah-olah tidak diurus dengan telus oleh pihak Kerajaan. Waima satu minit mesyuarat dan dokumen pun tiada seperti mana yang dilaporkan oleh PAC.

5. Wira PERKASA Malaysia juga menuntut pihak Kerajaan untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak ada akan disalah guna oleh mana-mana pihak. Ianya berikutan kes jual data peribadi yang sedang hangat diperkatakan. Dan amat penting bagi mengambil maklum dan memastikan keselamatan yang tinggi kepada data pengguna (rakyat).

MUHAMAD SYAFIQ BIN IBRAHIM
KETUA WIRA PERKASA MALAYSIA

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: