Solusi Harga Ayam: Permintaan Naik? Menteri Mesti Tunjuk Data – Hezri Sardi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli buat pengumuman berkaitan punca kenaikan harga makanan. Saya berulang-ulang kali mendengar sidang media dan membaca notis pengumumannya.
Dia berulang kali menyebut tentang Ketidakanjalan Permintaan (Inelasticity of demand) dan betapa harga barang naik kalau permintaan naik tetapi langsung tiada data berkenaan itu. Sebaliknya, Menteri Ekonomi berulang kali menyebut berkenaan peratus inflasi. Kalau dia mahu buat kesimpulan yang permintaan naik, dia mesti tunjuk data permintaan.
Misalnya, dia boleh kata:
Untuk telur ayam gred C, yang berharga 30 sen pada 1 Disember 2022.
1) Bilangan bekalan telur untuk 1 hingga 7 Disember ialah 1 juta biji.
2) Bilangan belian telur 1 ke 7 Disember ialah 1.2 juta biji.
Pada 7 Disember, harga telur ayam Gred C ialah 33 sen.
1) Bilangan bekalan telur untuk 8 hingga 14 Disember ialah 1 juta biji.
2) Bilangan belian telur 8 ke 14 Disember ialah 1.5 juta biji.
Harga telur ayam gred C pada 24 Disember ialah 35 sen.
Belian telur di kedai seluruh negara ialah permintaan. Belian naik daripada 1.2 juta biji pada 1 ke 7 Disember, kepada 1.5 juta biji pada 8 ke 14 Disember, harga 33 sen pada 7 Disember ke 35 sen pada 14 Disember.
Data ini kalau wujud, membuktikan bahawa kenaikan permintaan menyebabkan kenaikan harga.
Tapi data-data itu langsung tidak disebut. Yang berulang-ulang disebut hanya kadar inflasi. Sebab itu, saya kata Menteri Ekonomi hanya nak tunjuk dia tahu dengan petik teori buku teks. Petik teori lalu beritahu data inflasi yang tiada kaitan dengan bilangan permintaan.
Dia juga kata jangan makan luar kerana itu menaikkan permintaan seterusnya menaikkan harga makanan tetapi seperti kes telur, dia langsung tidak sebut berapa banyak orang makan di kedai pada misalnya 1 ke 7 Disember. Dia main sebut saja!
Tapi ada satu lagi persoalan lebih penting. Wujud ke semua data tadi? Bilangan bekalan telur yang dijual pada 1 ke 7 Disember serta bilangan belian telur pada 1 ke 7 Disember? Memang tak wujud! Habis kalau data berkaitan bekalan telur dan belian telur setiap minggu, setiap hari mustahil untuk diperoleh, maknanya apa? Maknanya kesimpulan yang kononnya permintaan naik adalah punca kepada harga naik adalah tidak berasas kerana data yang boleh dipercayai pun tiada.
Kalau setakat buat satu kenyataan umum mengikut “common sense”, kita pun boleh buat satu kesimpulan. Misalnya, macam mana permintaan telur boleh naik daripada bulan Oktober ke November ke Disember? Setiap orang makan telur ayam dalam bilangan yang lebih kurang sama setiap bulan. Permintaan memang boleh naik kalau bulan ni setiap orang makan 60 biji sebulan, bulan depan orang tiba-tiba makan 120 biji sebulan. Tak itu tak masuk akal! Tak mungkin setiap orang tiba-tiba boleh makan lebih banyak telur untuk setiap bulan?
Permintaan mungkin bertambah kerana bilangan penduduk bertambah setiap bulan kerana kelahiran. Tapi takkan setiap bayi yang lahir setiap bulan, terus dapat makan telur ayam?
Adapun teori Supply Demand (Penawaran Permintaan) berasal daripada mazhab mikroekonomi iaitu Marginalism. Tunjang kepada teori ini ialah hukum “Causation” atau punca penyebab. Prinsip ini dicuri daripada fizik. Misalnya, kita letak kertas atas mesin panas dan kuali panas. Masa yang diambil untuk kertas itu terbakar ialah – mesin panas ambil masa 2 hari manakala kuali panas ambil masa 5 minit. Oleh sebab tempoh lebih pendek, lebih cepat terbakar di kuali panas, maka kuali panas menjadi penyebab kepada kertas terbakar, bukan mesin panas.
Tapi apabila Causation digunakan dalam model mikroekonomi Demand Supply, kalau nak kata permintaan naik menjadi asbab (Causation) kepada harga naik, mesti ada satu titik mula. Tarikh mana menjadi titik mula. Dan apa yang diukur? Bilangan telur ayam? Adakah bilangan telur ayam dikira setiap hari atau minggu. Kalau seminggu, Causality tak boleh digunapakai sebab terlalu panjang. Kalau nak menjumlah semua bilangan telur pun ambil masa, ia bukan satu titik lagi. Oleh itu, penggunaan prinsip Causality tak boleh diguna dalam ekonomi, tak boleh guna dalam Teori Penawaran Permintaan.
Apabila Menteri Ekonomi Rafizi Ramli cuba mencari titik keseimbangan, dan cuba menurunkan PUNCA kenaikan harga dengan menurunkan “permintaan” walhal permintaan itu tidak dapat diukur, maka dia pun jadi:
Menteri Hilang Punca.
Hezri Sardi
Bendahari Dewan Perniagaan Melayu Melaka (DPMM)/ Penyelidik Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my