NGO

Solidariti Pertahan Akidah Umat Islam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1.Pada asasnya tiada paksaan untuk sesiapa masuk Islam dan sejarah mencatatkan Islam bukan berkembang dengan mata pedang sebagaimana didakwa oleh musuh-musuh Islam. Kebanyakannya kerana mempertahankan diri dan melalui serangan musuh-musuh Islam. Fakta ini boleh diperolehi melalui tulisan-tulisan pakar pengkaji sejarah dan sarjana dari kalangan bukan Islam sendiri.

2. Sebagaimana dinyatakan pada Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

3. Justeru, iman seseorang itu tidak boleh dibeli dan apabila seseorang itu telah beriman dengan menganut agama Islam maka adalah menjadi kewajiban setiap umat Islam mempertahankan keimanan saudara seagamanya dan ini dinyatakan dalam Al-Qur’an pada Surah Al-Hujurat: Ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Mukmin itu bersaudara”. Dan hadith menyebut: “Tidak beriman seorang Muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya” (Rowahu sahih al-Bukhari)

4. Dalam Islam tidak ada batasan umur untuk seseorang itu beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kerana ini adalah keyakinan dalam diri setiap orang kerana ia merupakan fitrah bagi setiap manusia tidak kira bangsa dan perut ibu yang beragama apa sekalipun. Pilihan kepada Islam bukan hanya merupakan rahmat bagi diri pemeluk tetapi bagi sekalian alam kerana menjadi seorang Muslim iaitu umat Nabi Muhammad SAW.

5. Lantaran apabila seseorang itu telah menjadi Muslim maka WAJIB bagi setiap saudara seagamanya mempertahankan akidah yang diyakininya agar tidak dicabuli dan dimurtadkan kembali jika sebelumnya ia bukan seorang Muslim. Justeru, dalam kes 3 anak-anak yang telah memeluk Islam dan menjadi muallaf maka wajib atas setiap Muslim yang lain bukan hanya membela mereka supaya mempertahankannya, tetapi juga kita bertanggungjawab mendidiknya supaya beramal dan amalan yang betul.

6. Umat Islam tidak boleh berlepas tangan malahan dipertanggungjawabkan akan kebajikan seseorang itu sebaik sahaja ia menjadi mualaf. Jika agama lain yang kufur kepada Allah SWT boleh menjaga kebajikan penganut barunya mengapa Malaysia yang dalam Perlembagaan termaktub pada Perkara 3 : Islam adalah agama Persekutuan, tidak berupaya menjaga, mempertahan, dan mendidik para mualaf.

7. Atas dasar perkara di atas saya menyeru seluruh umat Islam mengambil perhatian dan memberi sokongan moral kepada ketiga-tiga mualaf supaya kekal berada dalam keimanan mempertahankan akidah mereka apabila ibu kandungnya (beragama Hindu) akan menuntut habeas corpu (tahanan tidak sah) terhadap anak-anaknya yang saat ini berada di bawah jagaan sebuah NGO Islam.

8. Tuntutan yang akan dibuat di Mahkamah Persekutuan Jalan Duta, pada esok hari Isnin akan menentukan sama ada adik beradik 3 mualaf ini akan kekal berada di bawah jagaan NGO Islam seliaan Ustazah Nazirah yang terbukti telah menjaga dan mendidik mereka dengan baik selama 2 tahun lebih, atau dikembalikan semula kemungkinan atas perintah mahkamah ke pangkuan ibu mereka yang beragama Hindu.

9. Penjagaan terhadap ketiga-tiga mualaf ini di bawah NGO Islam jauh lebih baik dan selamat daripada penjagaan kedua ibubapa mereka yang berlainan agama dan berada dalam konflik persengketaan dan ketidakstabilan, baik dari sudut kewangan, tempat tinggal, pendidikan dan juga penjagaan menyediakan keperluan seharian. Lebih dari itu Perkara 3 dalam Perlembagaan sudah jelas; Islam adalah agama bagi Persekutuan. Menunjukkan keutamaan beragama itu adalah pada Islam, manakala agama lain bebas mengamalkan ajaran mereka.

Haji Rashidi bin Haris
@ Lebai Kampung

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: