Tempatan

Solidariti Palestin: Tiada Program Hiburan Sempena Tahun Baharu Di Perlis

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KANGAR, 14 Disember 2023 – Penganjuran sebarang program hiburan seperti nyanyian dan tarian yang melalaikan adalah tidak digalakkan di Perlis sempena sambutan tahun baru bagi menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Cadangan tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli susulan perkembangan semasa berhubung isu Palestin yang kian dipandang sepi oleh banyak pihak.

Menurut beliau, jenayah dan kekejaman Israel sudah berlarutan sejak sekian lama tetapi ia masih dipandang sepi tanpa ada sebarang penyelesaian yang kukuh dari kuasa dunia bagi menghentikan konflik tersebut.

“Hari ini, kekejaman masih berlanjutan di Semenanjung Gaza dan menyebabkan pembunuhan besar-besaran tanpa ada belas ihsan terutamanya kepada golongan yang tidak berupaya, wanita, warga emas malah kanak-kanak turut menjadi mangsa.”

Menjelaskan dengan lebih lanjut, sehingga kini lebih 15,000 rakyat Palestin telah syahid, 37,000 cedera serta 6,500 hilang di bawah runtuhan bangunan di samping beliau turut menggesa semua pihak untuk menolak penyelesaian dua negara (two state solution).

Hal ini kerana, katanya langkah tersebut tidak berupaya menyelesaikan isu yang berlarutan itu.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sewaktu mengemukakan usul mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan rejim haram apartheid Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, semalam.

Memetik laporan, DUN Perlis telah sebulat suara meluluskan usul mengecam serangan tidak berperikemanusiaan rejim haram apartheid Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Tambah beliau lagi, Israel tidak diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah di mana berdasarkan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, ia menunjukkan Israel hanyalah rejim yang melakukan jenayah dunia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: