Solidariti Bersama Palestin, Orang Ramai Digesa Waspada Scammer
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2023 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dalam menyalurkan sebarang bentuk bantuan sebagai tanda solidariti bersama Palestin, menurut kenyataan media yang dikeluarkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, warganegara Malaysia hendaklah menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti demi mengelakkan daripada menjadi mangsa scammer.
Ujarnya, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan warga Malaysia agar tidak membuat sebarang pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.
“PDRM juga memantau rapi aspek ini dan menggerakkan elemen-elemen berkaitan khususnya Cawangan Khas (SB) dalam memastikan tiada penglibatan rakyat Malaysia sehingga mewujudkan risiko keselamatan diri.”
Menurutnya, iringan doa dan sokongan moral rakyat Malaysia adalah solidariti terbaik kepada warga Palestin yang ditindas.