Solat Jumaat Kapasiti Penuh Di Selangor
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 19 Januari 2022 – Semua masjid dan surau di Selangor yang mendapat kebenaran solat fardhu Jumaat dibenarkan untuk menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah secara sepenuhnya bagi menunaikan solat tersebut bermula Jumaat ini, umum Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Kebenaran tersebut telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan, jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan sebanyak semeter.
Tambah Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, kebenaran menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah dengan kapasiti penuh ini akan meningkatkan bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh negeri Selangor.
“Ketetapan ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir JAIS pada November lalu.”
Justeru, JAIS berharap agar ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefardhuan solat Jumaat, kata Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Surat ketetapan kebenaran menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah secara penuh semasa solat fardhu Jumaat akan dikeluarkan dan diedarkan oleh pihak JAIS kepada 427 buah masjid dan 316 buah surau yang terlibat dalam masa terdekat.