Tempatan

Solat Jemaah Tanpa Penjarakan Fizikal Bermula 1 April 2022 – PM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2022 – “Aktiviti solat jemaah di masjid/surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal,” umum Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media 8 Mac baru-baru ini.

Kelonggaran diberikan selepas beliau mengumumkan negara akan memasuki fasa peralihan dari pandemik ke endemik bermula 1 April 2022 ini.

“Setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet, hari ini saya ingin mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April 2022.”

Walau bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), kata Ismail Sabri lagi menerusi kenyataan sama yang disiarkan menerusi laman Instagram rasmi MKN.

Mengulas mengenai peralihan ke fasa endemik, Perdana Menteri Malaysia ke-9 itu berkata, Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ini merupakan exit strategy untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19.

Selain kelonggaran penjarakan fizikal di surau/masjid dan rumah ibadat lain, berikut merupakan SOP dan kelonggaran lain bermula 1 April 2022:

1.Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

2. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan. Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis. Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar.

3. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai. Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu/pengunjung.

4. Keperluan vaksinasi:

a. Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.

b. Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Selain itu, had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai juga dimansuhkan.

“Tiada lagi had kapasiti 50 peratus. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” ujar Ismail Sabri.

Bukan itu sahaja, Kerajaan juga telah memutuskan supaya sempadan negara turut dibuka semula pada 1 April ini.

Namun demikian, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

“Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.”

Manakala SOP bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi telah diperincikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin seperti yang tertera di bawah.

WhatsApp-Image-2022-03-10-at-4.30.09-PM-300x300.jpeg

Leave a Reply

Back to top button