Antarabangsa

Sokong Pelampau Rejim Haram, Palestin Gesa Boikot Gergasi Pakaian Zara

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BAITULMUQADDIS, 25 Oktober 2022 – Susulan menunjukkan sokongan terhadap seorang pelampau rejim haram aparteid Israel baru-baru ini, rakyat Palestin telah menggesa aktiviti boikot ke atas gergasi pakaian Sepanyol, Zara.

Menurut berita Arab, Joey Schwebel, Pengerusi francais Zara Israel telah menjadi tuan rumah kepada Itamar Ben-Gvir, seorang ahli parlimen rejim haram apartied Israel yang amat dikenali dengan sikap anti-Palestin, untuk acara kempen menjelang pilihan raya Israel.

Situasi berkenaan telah mencetuskan kecaman dari pelbagai pihak terutamanya di kalangan rakyat Palestin hingga mereka melancarkan kempen boikot atas talian terhadap kedai fesyen tersebut.

Selain itu, sesetengah rakyat Palestin juga menentang perjumpaan tersebut sekali gus bertindak membakar pakaian hasil jenama terkenal Zara.

 

Pegawai Pihak Berkuasa Palestin (PA) pula mengecam Zara, manakala ketua hakim negara itu mengeluarkan keputusan melarang orang ramai berurusan dengan syarikat tersebut.

Itamar Ben-Gvir merupakan ketua parti politik sayap kanan rejim haram aparteid Israel, Otzma Yehudit. Dia sering melakukan hasutan keganasan terhadap rakyat Palestin dan terlibat dalam serangan penceroboh di Masjidil Aqsa dan kejiranan Sheikh Jarrah di Timur Baitulmuqaddis.

Terbaru, Ben-Gvir telah mengeluarkan pistol ketika berhadapan penduduk Sheikh Jarrah dan memuji tindakan melampau Baruch Goldstein, penceroboh dari rejim haram aparteid Israel yang telah membunuh 29 rakyat Palestin di Masjid Ibrahimi pada tahun 1994.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: