Sokong LGBTQ+, Masjid Kibar Bendera Pelangi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JERMAN, 14 Julai 2022 – Sebuah masjid di Berlin mengibarkan bendera pelangi buat kali pertama untuk menyatakan sokongan kepada komuniti LGBTIQ+ di sana.
Upacara menaikkan bendera yang diadakan pada Jumaat itu dihadiri oleh ratusan orang dan rata-ratanya memakai lencana berslogan ‘Cinta itu Halal’.
“Khusus bagi orang LGBTIQ+ yang beragama Islam, tanda seperti itu (bendera) amat penting, kerana ia menunjukkan bahawa mereka tidak perlu memilih antara kepercayaan mereka dan identiti seksual mereka, tetapi diterima sedemikian, sebagaimana adanya,” kata pengasas masjid Ibn Rushd-Goethe, Seyran Ateş kepada Queer.de.
Menurut Deutsche Welle, salah seorang daripada enam imam masjid, Mo el-Ketab berkata masjid Ibn Rushd-Goethe adalah ‘tempat selamat untuk orang yang berbeza, jadi mereka juga boleh mengalami sisi rohani dalam kehidupan mereka’.
“Saya berharap banyak masjid lain akan turut mengibarkan bendera dengan cara ini atau meletakkan tanda positif lain kepada komuniti LGBT,” tambahnya.
Turut menghadiri masjlis tersebut Senator Budaya Berlin, Klaus Lederer, Ketua Negeri, Kai Wegner, Ahli Majlis Pendidikan Daerah, Mitte Stefanie Remlinger (Greens), penguasa evangelis, Bertold Höcker dan penganjur Berlin Pride (CSD) Ulli Pridat, Patrick Ehrhardt dan Marc-Eric Lehmann.
Walaupun kebanyakan negara menyambut bulan kebanggaan pada bulan Jun, namun ibu negara Jerman akan mengadakan dua acara LGBTIQ+ utama pada bulan Julai iaitu Festival Lesbian dan Gay, dan Hari Christopher Street (CSD) atau biasanya dikenali sebagai perayaan kebanggaan.