SKMM Beri Amaran Terhadap Individu Bangkit Sentimen Kebencian 3R
CYBERJAYA, 20 Mac 2023 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang kandungan yang membangkitkan sentimen kebencian terhadap elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R- Race, Religion, Royalty).
Menerusi satu kenyataan, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din berkata, peringatan tersebut dibuat ekoran beberapa insiden elemen 3R yang berlaku kebelakangan ini.
Menurut kenyataan, “Ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan mereka.”
Lantaran itu, MCMC terus memantau perkara tersebut bagi mencegah penyebaran maklumat palsu serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.
“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.”
BACA JUGA: Hati-Hati, Ribut Petir Bakal Melanda Sarawak
BACA JUGA: Kerajaan Pahang Sumbang RM500 Buat Jemaah Haji Bermula Tahun Ini
BACA JUGA: Diskaun Saman Trafik Hingga 60 Peratus 20-30 Mac Ini
MCMC turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap individu yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi menjaga ketenteraman dan kepentingan masyarakat.
Tambah suruhanjaya itu, pentadbir portal-portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menggunakan kuasa editorial mereka untuk mengendalikan komen-komen netizen di platform masing-masing.
Pihak penyedia platform media sosial pula diminta lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila berjaya dikesan.
Mengulas lanjut, MCMC berkata, “Sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan berikut: https://aduan.skmm.gov.my/ ; talian aduan: 1800-188-030; Whatsapp di 016-2206262 dan e-mel di [email protected].”
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my.salur/.