Tempatan

Skim Pelaburan Tunggang Agama Songlap Hampir RM1 Juta

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 Mac 2022 – Pihak polis sedang membuat siasatan berkenaan dua skim pelaburan yang dipercayai menipu ramai orang hingga menyebabkan kerugian hampir RM1 Juta.

Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman melaporkan bahawa skim ini mencari pelabur melalui platform media sosial dengan memberi pelbagai tawaran untuk menjadi kaya dan telah mula aktif sejak penghujung tahun 2021 lagi.

Dua skim berkenaan didapati menggunakan nama Islam untuk menjalankan operasi haram mereka iaitu Al-Kahtifah Trust dan Madinah Mining. Mereka menawarkan pakej pelaburan serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100% dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

Selain itu, bagi meraih keyakinan dan kepercayaan pelabur, mereka mendakwa skim tersebut bersifat patuh Syariah dan mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia.

Terkini, pihak polis membuka 66 kertas siasatan melibatkan kedua-dua skim tersebut.

“Sebanyak 38 kertas siasatan membabitkan pelaburan Al Kahtifah Trust telah dibuka membabitkan kerugian RM468,870. Bagi skim Madinah Mining pula, sebanyak 28 laporan telah dibuat oleh mangsa mengatakan wang pelaburan mereka berjumlah RM343,282 telah lebur akibat ditipu sindiket,” ulasnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan ahli sindiket dituduh di mahkamah. Pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Datuk Mohd. Kamarudin menyarankan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan khususnya yang menjanjikan keuntungan lebih lumayan.

Orang ramai juga dinasihati membuat semakan terlebih dahulu daripada Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi mengelakkan kes penipuan terjadi.

Sebelum ini, Presiden dan pengasas syarikat perunding kewangan AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman mendedahkan terdapat beberapa pihak yang menyalah guna identitinya untuk mempromosikan skim pelaburan yang tidak wujud terutamanya di laman Facebook.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: