Skim Hidroelektrik Ulu Jelai : Pahang Bakal Nikmati Persekitaran Lebih Lestari
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 03 Mac 2022 – Kerajaan Negeri Pahang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai sebagai tanda kesepakatan menjaga kawasan tadahan air tersebut bagi memastikan keseimbangan ekosistem di kawasan operasi stesen janakuasa terbaharu di Cameron Highlands itu terpelihara.
Menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, peruntukan khas disediakan dalam perjanjian itu bagi memastikan kedua-dua pihak menjaga kawasan tadahan dengan baik supaya mengurangkan hakisan dan pemendapan sepanjang skim hidroelektrik itu beroperasi.
“Kewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan, atau Jawatankuasa Penasihat untuk Stesen Janakuasa Ulu Jelai, hendaklah sentiasa peka dan mengurus serta memulihara kawasan tadahan ini dengan sebaik-baiknya,” ucapnya di majlis menandatangani perjanjian berkenaan, di Kuala Lumpur pada 28 Februari yang lalu.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan negeri, manakala TNB diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din. Majlis turut disaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin.
Melalui posting di Facebook miliknya, Wan Rosdy juga menyatakan Kerajaan Negeri Pahang turut mendapat pendapatan melalui perjanjian ini melalui penggunaan sumber air untuk penjanaan tenaga elektrik, selain membekalkan air mentah, dan mengawal selia tebatan banjir serta sistem pengairan di Ulu Jelai.
Sementara itu, Hasan menerusi kenyataan yang dikeluarkan TNB berkata Skim Hidroelektrik Ulu Jelai yang berada di Mukim Hulu Telom itu antara tiga stesen hidroelektrik terbesar di Cameron Highlands yang dibina di bawah tanah demi mendapatkan tekanan air secukupnya supaya boleh menggerakkan turbin untuk menjana tenaga elektrik.
Stesen berkenaan siap pada 2016 dengan reka bentuk mampu memberikan tindak balas pantas kepada sistem grid terhadap perubahan permintaan, khususnya pada waktu beban puncak dengan kawalan frekuensi kapasiti dua unit penjanaannya yang berjumlah 372 Megawatts.
Penjanaan secara hidro adalah satu inisiatif ke arah kelestarian tenaga elektrik, yang bermaksud TNB dan Negeri Pahang menyokong agenda nasional yang menyasarkan 45 peratus pengurangan intensiti Gas Rumah Hijau (GHG) pada 2030, untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa menangani perubahan iklim melalui sasaran rendah karbon.
Ini sekaligus menyumbang kepada plan strategik Hala Tuju Kelestarian TNB, iaitu mengurangkan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035, seterusnya pelepasan karbon sifar bersih pada 2050 kerana secara bandingannya, skim Ulu Jelai ini berupaya mengurangkan kira-kira 250,000 tan karbon dioksida setahun dengan mengambil kira pelepasan penjanaan arang batu dan bahan api fosil lain ketika tempoh puncak.
Dengan termeterainya perjanjian ini, ia mengukuhkan satu lagi manifestasi bahawa TNB dan Negeri Pahang sentiasa mempunyai semangat kerjasama yang tinggi untuk kepentingan negara dan kehidupan lebih sejahtera kepada rakyat, Better.Brighter.