Siti Kasim Persoal Kod Pakaian Konvokesyen UKM, Netizen Kritik ‘Terlalu Melayu’
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2022 – Peguam dan aktivis Siti Kasim dalam satu hantaran video mempersoalkan kod etika pemakaian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semasa majlis konvokesyen akan datang yang melarang penggunaan pakaian tradisional India dan Cina, saree dan cheongsam.
“Baru terjumpa risalah UKM tentang pakaian yang boleh digunakan oleh graduan dan ibu bapa. Mereka katakan tiada saree dan cheongsam. Mereka sebenarnya sedang menentukan jenis pakaian yang boleh mereka pakai pada hari graduasi.
Saya sangat tersinggung dengan perkara ini kerana apa yang membuatkan mereka fikir mereka boleh menentukan kepada kami pakaian apa yang boleh kami pakai, terutamanya pakaian tradisional kami.
Hei UKM! Anda fikir anda siapa? Ayuh, ahli politik, lantanglah mengenai perkara ini. Ini sudah melampau. Penyusupan, pemantauan dan kawalan mereka ini benar-benar membuatkan saya sangat marah. Bersuara dan bangkit rakyat, kita harus menolak kawalan seperti ini terhadap kehidupan kita,” ujar peguam berkenaan dalam video tersebut.
Dalam pada itu, seorang alumi insitusi pengajian tinggi berkenaan mengatakan, etika berpakaian yang dibenarkan dilihat terlalu mementingkan Melayu dan keadaan bertambah buruk apabila pemakaian saree dan cheongsam disenaraikan dalam kod pakaian yang dilarang.
“Maklumat salah seperti ini akhirnya menimbulkan salah faham, sekali gus menimbulkan isu yang menyinggung sensitiviti kaum,” katanya.
Menurut laporan media, etika pakaian bagi graduan lelaki adalah lounge suit, baju melayu lengkap atau baju lengan panjang bertali leher serta seluar gelap sama seperti tetamu lelaki. Namun tetamu lelaki turut diberikan kebenaran memakai baju batik.
Manakala graduan dan tetamu wanita pula perlu memakai baju kurung, kebaya longgar atau blaus lengan panjang atau baju dengan skirt atau gaun panjang gelap.
Bagaimanapun, pakaian yang tidak dibenarkan adalah seluar pendek, seluar jeans, skirt pendek, blaus lengan pendek, saree dan cheongsam.