Siti Kasim Desak Rakyat Pertahan Negara Dari Pencerobohan RUU Syariah
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 13 September 2021 – Peguam, Siti Kasim mendesak rakyat untuk bangkit bersama menentang usaha kerajaan yang sedang merangka empat undang-undang Syariah baharu, termasuk untuk mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam.
Menurut beliau, rakyatlah yang patut bertanggungjawab sekiranya negara ini musnah disebabkan oleh ‘pencerobohan’ ini.
“Kenapa senyap pada perkara yang begitu penting, kamu orang! Jika negara kita gagal sepenuhnya tersungkur kamulah yang akan dipertanggungjawabkan kerana tidak mempertahankan negara ini dari pencerobohan ini.”
“Tidak bagi mempergunakan agama bagi tujuan politik dan menggerakkan rakyat secara politik!”
Senada dengan Siti Kasim, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) turut bangkit mempertikaikan rancangan untuk menguatkuasakan undang-undang baharu bagi mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam.
Kesatuan agama-agama bukan Islam itu mendesak Perdana Menteri untuk memberi penjelasan mengenai cadangan itu “sebelum ia menyebabkan kegelisahan lebih besar dalam kalangan rakyat”.
Timbalan Menteri Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary sebelum ini telah mengemukakan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah “Allah” bagi golongan bukan Islam.
Sebahagian umat Islam Malaysia merasa khuatir akan penggunaan kalimah “Allah” oleh golongan bukan Islam kerana boleh membuka ruang penyalahgunaan kalimah itu oleh pendakyah yang terlibat dengan gerakan halus untuk memurtadkan umat Islam.
Mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pernah mendedahkan bahawa Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak belum lagi menggubal Enakmen Kawalan Dan Sekatan Penyebaran Agama atau ajaran bukan Islam kepada orang Islam.
Menurut Dr Mujahid, terdapat keperluan untuk mewujudkan enakmen tersebut bagi menghalang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam di negeri-negeri terbabit kerana ianya selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.