Sistem Kesihatan Gaza Di Tahap Kritikal – WHO
GAZA, 15 Oktober 2023 – Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa sistem kesihatan di Semenanjung Gaza berada di tahap yang kritikal.
Menurut WHO dalam satu kenyataan, pihak hospital hanya mempunyai bekalan elektrik untuk beberapa jam kerana terpaksa mencatu rizab bahan api yang semakin berkurangan.
Perkara tersebut sekali gus akan memberikan risiko yang tinggi kepada pesakit yang rentan termasuk mereka yang memerlukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa serta bayi baru lahir yang bergantung kepada penjagaan dalam inkubator.
Kata WHO, kekurangan bekalan perubatan ke kawasan tersebut memburukkan lagi krisis serta mengehadkan lagi kapasiti hospital yang sudah terlalu padat untuk merawat mereka yang tercedera susulan daripada bilangan kecederaan dan kematian yang terus meningkat akibat serangan.
Malah, keadaan itu juga turut memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan asas apabila semua kemudahan kesihatan terpaksa mengutamakan penjagaan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa.
Dalam masa yang sama, pergerakan pasukan perubatan kecemasan ke lapangan turut terhalang berikutan kerosakan infrastruktur.
“Tanpa kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza – terutamanya perkhidmatan kesihatan, bekalan perubatan, makanan, air bersih, bahan api dan bahan-bahan bukan makanan – rakan-rakan kemanusiaan dan kesihatan tidak dapat bertindak terhadap keperluan segera penduduk yang amat memerlukannya. Setiap jam yang terbuang membahayakan lebih banyak nyawa,” memetik kepada kenyataan WHO.
Berikutan itu, WHO menggesa agar peperangan ditamatkan serta orang awam dan sistem kesihatan dilindungi daripada serangan.
WHO turut menyeru agar koridor kemanusiaan segera ditubuhkan bagi memastikan bekalan kesihatan dan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan termasuklah bagi proses pemindahan mereka yang tercedera.