Tempatan

Sistem Imbas Akan Sukarkan Warga Asing Beli Petrol Bersubsidi -Cikgu Izzat Johari

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 April 2022 – Aktivis, Haji Mohd Nor Izzat Mohd Johari menjelaskan bahawa pelaksanaan sistem imbas ketika pembelian petrol akan menyukarkan warga asing untuk membeli petrol bersubsidi termasuk segala barang yang bersubsidi.

Beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Izzat Johari (CIJ) dalam hantaran Facebooknya, mencadangkan Kerajaan supaya mewujudkan pengimbasan kad pengenalan bagi mengekang masalah pembelian petrol bersubsidi oleh warga asing di negara ini.

“Bayangkan, jika ingin membeli petrol bersubsidi, rakyat Malaysia wajib mengimbas kad pengenalan,” jelas beliau dengan memberikan contoh aplikasi TnG yang sedia ada pada kad pengenalan masing-masing.

Merujuk kepada pelbagai kaedah berasaskan teknologi yang wujud pada masa kini, beliau berkata, “64 tahun negara merdeka sudah cukup untuk menonjolkan pakar-pakar termasuk sistem pengklasifikasi bagi membezakan anda warganegara atau warga asing.”

Menurut CIJ lagi, jika dibiarkan, impak yang akan diterima adalah negara akan berdepan dengan ketirisan yang sangat besar kerana menanggung subsidi bukan sekadar untuk rakyat Malaysia tetapi juga warga asing.

“Malah, ia ibarat membenarkan bukan jutaan malah puluhan juta duit subsidi digunapakai oleh warga asing yang tidak sepatutnya mendapatkan kemudahan tersebut kerana masalah ini sudah puluhan tahun timbul namun dipandang sepi oleh pihak kerajaan sendiri,” ujar CIJ.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz memaklumkan bahawa masalah pembelian petrol bersubsidi oleh warga asing masih belum dapat diatasi atas faktor kekurangan tenaga kerja.

Justeru, Khairul Annuar turut menyarankan penggunaan teknologi untuk membantu memantau pembelian RON95 oleh warga asing, lebih-lebih lagi kini apabila sempadan dibuka semula.

“Mungkin semakan pengenalan, menggunakan kad pengenalan individu, boleh diperkenalkan di pam sebelum pembelian dibuat.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: