Sisa Buangan Bazar Ramadan Selangor Meningkat 45 Peratus
SELANGOR, 03 April 2023 – Sisa buangan makanan dari bazar Ramadan di Selangor meningkat sebanyak 45 peratus pada tahun ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook KDEB Waste Management, dilaporkan, jumlah sisa buangan makanan pada setiap hari dalam bulan Ramadan 2023 adalah sebanyak 73.67 tan meliputi tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor berbanding 50.78 tan pada tahun lalu.
Ia susulan pertambahan jumlah petak berniaga dan peniaga di bazar Ramadan negeri itu berbanding sebelumnya yang masih terhad akibat impak daripada pandemik COVID-19.
Menurut pengurusan itu, “Peningkatan jumlah petak perniagaan yang ketara dapat dilihat di Majlis Perbandaran Klang sebanyak 1,331 bilangan petak perniagaan lebih banyak berbanding pada tahun lepas yang menyumbang kepada peningkatan sampah sebanyak 16.5 tan sehari.”
BACA JUGA: Pelajar, Tukang Kebun Ditahan Kerana Jenayah Dadah
BACA JUGA: Ramadan: ‘Geng Plastik Hitam’ Guna ‘Drive-Thru’ Ambil Makanan Dipesan
BACA JUGA: KTM Sedia Tren Khas Aidilfitri Ke Pantai Timur
Dalam pada itu, KDEBWM memaklumkan bahawa mereka bertanggungjawab mengutip sampah di bazar Ramadan tujuh PBT di Selangor meliputi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL); Majlis Perbandaran Sepang (MPSp); Majlis Perbandaran Klang (MPK); Majlis Perbandaran Kajang (MPKj); Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Sementara bagi bazar Ramadan di PBT Hulu Selangor, Kuala Selangor, Ampang Jaya, Sabak Bernam dan Petaling Jaya, ia diuruskan sendiri oleh Majlis masing-masing.
Berikutan peningkatan sisa buangan makanan pada Ramadan tahun ini, KDEBWM menasihati orang ramai agar lebih bijak berbelanja ketika membeli di bazar sekali gus mengelakkan pembaziran.