SIS Bantah Kod Pakaian Negeri Terengganu
PETALING JAYA, 26 Februari 2023 – Pertubuhan Sisters in Islam (SIS) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan membantah penguatkuasaan pematuhan etika pemakaian patuh syariah yang dilaksanakan di negeri Terengganu.
Dalam sebuah kenyataan, pertubuhan itu membantah keras sebarang usaha oleh Kerajaan, institusi awam atau swasta yang memaksa wanita memakai pakaian mengikut peraturan dan standard mereka.
BACA JUGA: Tiada Tauliah, JAIS Batal Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus
Katanya, ia amat membimbangkan apabila tindakan pengawasan moral ini sentiasa berlaku di Malaysia, malah SIS melihat tindakan berkenaan sebagai salah satu bentuk pelanggaran hak dan gangguan terhadap wanita serta memperlekehkan maruah dan autonomi mereka.
BACA JUGA: Sedekad Terkandas, Pelarian Protes Dasar Australia Dengan Jahit Mulut Sendiri
Dalam pada itu, SIS turut mengkritik sebarang usaha atau cubaan untuk memalukan perempuan secara terbuka dengan memaksa kod pemakaian terhadap mereka. Menurut SIS, pemaksaan kod pakaian kononnya dilihat seperti merendahkan martabat wanita dan mewujudkan suatu perasaan tidak selesa dan takut terhadap perempuan.
BACA JUGA: Belanjawan 2023: Sumbangan Tunai Rahmah Bantu Golongan Berpendapatan Rendah
Di akhir kenyataan, pertubuhan itu berkata, “Kami menggesa pihak institusi awam dan swasta, serta orang ramai bagi mengakhiri obsesi mereka untuk mengawal perempuan, terutamanya cara mereka memakai pakaian.”
“Hentikanlah tindakan meletakkan sesuatu standard tentang apa yang ‘sesuai’ dan ‘betul’ untuk perempuan kerana ia bersifat misoginis dan seksis!” tegas SIS.
Terdahulu, samudera.my melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, sudah tiba masanya pematuhan etika pemakaian dilaksanakan di negeri berkenaan.