Iqtisad Pribumi

Counterfactual Solusi Harga Ayam: Data Tanpa Ilmu Adalah Sesat. Data Tanpa Logik Adalah Gila

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Setelah melihat tindak tanduk Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melalui sidang media dan notis pengumumannya, kita dah boleh merumuskan cara dia berfikir.

Pertama, sebelum jadi menteri, dia aktif dengan Invoke yang terkenal dengan data. Kedua, dia juga terkenal dengan sembang kencang dalam ceramah serta propaganda dalam partinya. Tabiat-tabiat yang terbentuk selama bertahun tahun daripada ini susah dibuang.

Saya banyak kali sebelum ini menghentam sesiapa yang begitu taksub menggunakan data. Data tanpa ilmu adalah sesat. Data tanpa logik adalah gila. Ya, dalam ekonomi, ada data tetapi prinsip tadi tetap terpakai.

Data ekonomi terbahagi kepada 3 kumpulan:

1) Data subjektif.
Ia ialah unit yang tak boleh diukur. Dalam buku teks ekonomi, contoh unit yang tak boleh diukur ialah “marginal utility”. Utiliti ini bermakna “kepuasan”. Macam pelik, tapi utiliti lah yang menjadi ukuran kepada istilah ekonomi seperti “permintaan” (demand). Sebab itu, Menteri Ekonomi kita atau sesiapa saja tak pernah dan tak boleh mengeluarkan data permintaan secara khusus. Misalnya, kalau kata harga telur gred C naik kerana permintaan naik, ia hanya satu teori tak berasas kerana tak mungkin ada data untuk permintaan telur gred C untuk tempoh pendek, misalnya 1 hari atau 1 minggu. 1 tahun pun tiada.

Perlu dibezakan antara permintaan untuk barang khusus (misalnya telur gred C) dengan permintaan agregat kerana istilah permintaan agregat yang dicipta oleh John Maynard Keynes bukan untuk jadi alasan kenaikan harga. Istilah permintaan agregat Keynes hanya untuk mengukur jumlah perbelanjaan.

Jadi apa yang mesti dibuat ke atas data subjektif seperti marginal utility dan konsep yang lahir daripadanya seperti permintaan? Ia mesti dikeluarkan daripada sebarang formula, analisa dan pengiraan.

2. Data nyata.
Data ini pula boleh diukur kerana boleh dikesan oleh panca indera manusia. Data ini wujud secara semulajadi dalam kehidupan seharian, bukan dicipta oleh eksperimen terkawal. Contohnya banyak seperti keluasan tanah, bilangan telur, bilangan ayam, bilangan kambing, bilangan penduduk, bilangan pekerja, dan banyak lagi. Berbanding dengan konsep subjektif seperti “permintaan naik”, semua ini adalah jelas nyata. Sepatutnya data nyata saja lah yang boleh masuk ke dalam teori, formula, dan analisa ekonomi.

3. Parameter keluk dan garisan.
Daripada data subjektif yang disebut dalam (1) tadi, buku teks ekonomi mencipta pelbagai bentuk keluk dan garisan yang menunjukkan unsur ekonomi naik turun. Ia tiada nama dan bentuk nyata tetapi hanya satu lakaran atas kertas yang menghubungkan unsur unsur ekonomi.

Contohnya, keluk penawaran permintaan (demand supply curve). Kuantiti yang cuba diwakili oleh keluk-keluk ini sebahagian besarnya tak pernah wujud pada mana-mana masa dalam dunia sebenar, atau tak boleh diukur dalam dunia sebenar.
Kuantiti yang ada dalam keluk-keluk ini tak boleh kita lihat dengan mata kasar kalau kita cuba memantau, menyiasat proses kerja atau kegiatan ekonomi dalam kehidupan seharian.

Maklumat sebegitu hanya boleh wujud kalau seseorang buat suatu eksperimen yang unsur-unsur dalam eksperimen itu dikawal, dicipta sendiri. Misalnya, letakkan 100 orang dalam suatu bilik dan suruh mereka berlakon untuk berjual beli telur. Dalam eksperimen dikawal seperti ini, mungkin boleh dapat ditunjukkan permintaan naik tapi bukan dalam dunia sebenar.

Seperti data subjektif yang mesti dikeluarkan daripada analisa ekonomi, parameter keluk ini semua juga mesti dikeluarkan daripada analisa ekonomi.

Menteri Ekonomi suka sebut perkataan hipotesis. Tapi dia berulang kali menggunakan parameter keluk permintaan penawaran yang tiada data sebenar. Teori “demand supply” berasal daripada teori marginalism atau neoclassical. Ia tidak menganalisa fakta daripada dunia sebenar sebaliknya untuk teori-teori itu berfungsi, ia mesti terlebih dulu mencipta satu set fakta baru daripada imaginasi.

Counterfactual.

Tuan Puan boleh Google istilah “Counterfactual”. Ini bermaksud membayangkan perkara yang tidak berlaku di dunia sebenar. Misalnya, kalau lelaki boleh lahirkan anak. Kalau babi boleh terbang. Ini ialah hipotesis saja, tak berlaku di dunia sebenar.

Adapun “Counterfactual” adalah asas atau “a sine qua non” dalam mazhab neoclassical seperti teori penawaran permintaan ini. Ia mencipta suatu “virtual reality” seperti dalam permainan video Playstation tapi fakta dunia sebenar tiada di dalamnya.

Bagi seseorang yang sebelum ini suka propaganda seperti Rafizi, berhipotesis bermain dengan teori Counterfactual memang sesuai dengan dia. Tapi untuk selesaikan masalah dunia sebenar, kita kena berjejak di alam nyata.

Hezri Sardi
Bendahari Dewan Perniagaan Melayu Melaka (DPMM)/ Penyelidik Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: