Singapura Tidak Wajibkan Pakai Pelitup Muka Bermula 29 Mac
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 28 Mac 2022 – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa orang ramai tidak diwajibkan lagi untuk memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan bermula 29 Mac ini.
Hsien Loong menyatakan bahawa keputusan itu dibuat selepas kes jangkitan harian COVID-19 telah menurun sejak dua minggu lalu dengan nisbah dari minggu ke minggu kira-kira 0.8.
Menurutnya, dengan cara itu risiko jangkitan akan jauh lebih rendah dan itu merupakan sebahagian daripada usaha Singapura untuk menjalani kehidupan dengan COVID-19.
“Langkah pelonggaran sekatan akan menghubungkan semula Singapura dengan dunia. Ia akan memberi ransangan kepada perniagaan khususnya sektor pelancongan dan mengembalikan semula kedudukan Singapura sebagai hab perniagaan dan penerbangan.”
“Ia telah menjadi pertarungan yang sukar sejak dua tahun lalu. Kita sentiasa berdepan dengan gelombang jangkita baharu, namun kita cuba menyesuaikan diri dengan situasi tersebut,” ujarnya.
Antara perubahan lain yang kearah pengurusan selamat ialah membenarkan sebanyak 75 peratus pekerja yang bekerja dari rumah untuk kembali bekerja di pejabat.
Bukan itu sahaja, had kapasiti acara-acara juga dinaikkan ke jumlah yang lebih besar iaitu kepada lebih 1,000 tetamu atau 75 peratus kapasiti.
Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan ketika berada di dalam bangunan serta penjarakan sosial satu meter tetap dikekalkan antara kumpulan bagi mengurangkan penularan jangkitan berikutan pelonggaran keperluan memakai pelitup muka.