Singapura Panik Sekatan Eksport Ayam, KJ Optimis Sambung Eksport Singapura
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 04 Jun 2022 – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bahawa beliau optimis Malaysia akan meneruskan eksport ayam ke Singapura pada masa akan datang selepas Malaysia berjaya menurunkan harga ayam.
Berkata kepada para wartawan dalam lawatannya selama 4 hari di Singapura, beliau membayangkan sekatan ini cuma akan berlangsung hanya selama beberapa bulan sahaja.
“Kami hargai hubungan bilateral dengan Singapura. Ini bukanlah keputusan yang mudah untuk kami buat. Jadi kami berharap ianya bersifat sangat sementara sehingga situasi bekalan dan harga menjadi stabil.”
Larangan eksport yang bermula 1 Jun ini telah pun mengakibatkan bekalan ayam berkurangan serta kenaikan harga yang mendadak di Singapura memandangkan selama ini Malaysia membekalkan satu pertiga bekalan ayam di sana.
Beberapa hari kebelakangan ini, pasar raya dan pasar segar mengalami masalah kekurangan bekalan ayam segar ekoran serbuan rakyat Singapura yang memborong sebanyak mungkin bekalan sebelum tarikh sekatan itu bermula.
Banyak gerai dan restoran diserbu ramai pelanggan dengan barisan sangat panjang sehingga memaksa para pengusaha untuk menutup premis perniagaan mereka.
Walaupun semua negara bertanggungjawab untuk memastikan bekalan makanan negara masing-masing mencukupi, Khairy berkata Malaysia sedar akan kewajibannya sebagai pengeksport kepada negara-negara jiran termasuk Singapura.
Malaysia akan kembali mengeksport bekalan ayam kepada Singapura selepas isu ayam dalam negara selesai dengan kadar segera, menurut Menteri Kesihatan itu lagi.