Singapura: Gay Bukan Lagi Jenayah, Sabitan Suka Sama Suka Dibatalkan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 01 Disember 2022 – Hubungan seks antara lelaki kini tidak dianggap sebagai jenayah di negara jiran Singapura selepas Parlimen negara itu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut semalam.
Menurut sebuah laporan, pemansuhan Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan telah diluluskan dengan majoriti 93 undi di mana semua Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang hadir mengundi RUU tersebut.
Selain itu, Singapura turut meluluskan pindaan RUU yang melindungi definisi perkahwinan daripada cabaran undang-undang dengan majoriti 85 undi.
Walaupun beberapa ahli parlimen menyatakan kebimbangan mereka terhadap usaha melindungi institusi, nilai keluarga tradisional dan dasar sosial, ahli parlimen yang lain masih menekankan keperluan untuk menolak diskriminasi terhadap individu yang mempercayai definisi perkahwinan sebagai penyatuan antara seorang lelaki dan wanita.
Malah, terdapat juga yang mendesak kerajaan supaya tidak mendiskriminasikan mereka yang berada di luar institusi tradisional perkahwinan seperti orang bujang, balu dan pasangan yang sudah bercerai.
Mengulas lanjut, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam menekankan bahawa perubahan Perlembagaan akan melindungi definisi heteroseksual dalam perkahwinan dengan undang-undang dan dasar tertentu.
“Sama seperti yang kami jelaskan mengenai pemansuhan 377A, kami mengambil pendirian yang jelas bahawa kami akan melindungi perkahwinan heteroseksual sebagai institusi utama dalam masyarakat kita,” ujarnya.
Menteri itu juga menyatakan, terdapat beberapa individu yang disabitkan atas perbuatan homoseksual suka sama suka antara 1988 dan 2007, justeru itu, kementeriannya diarahkan untuk mempertimbangkan rekod mereka sama ada dikeluarkan atau dibatalkan.
Sementara itu, Shanmugam menjelaskan, Singapura tidak merancang untuk membenarkan individu mengeluarkan jantina berdaftar mereka daripada kad pengenalan atau pasport.
Masagos Zulkifli, Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga Singapura turut menegaskan, tiada agenda untuk mengubah tarif perkahwinan bagi memasukkan perkahwinan sejenis dan pemimpin agama atau mana-mana majlis akad nikah berlesen dilarang mengahwinkan pasangan sejenis.