Antarabangsa

Singapura Bakal Tubuh Kolej Pengajian Islam Singapura

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ANG MO KIO, 25 Ogos 2024 – Singapura bakal menubuhkan Kolej Pengajian Islam Singapura, ujar Perdana Menteri Encik Lawrence Wong di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central baru-baru ini.

Menurut beliau, pembinaan kolej itu adalah projek terbaru dengan kerjasama antara pemerintah dan masyarakat Melayu/Islam bagi memupuk dan melahirkan pemimpin Islam setempat pada masa akan datang.

Idea itu pertama kali diusulkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim pada 2016, kemudian dilaksanakan oleh penggantinya yang merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Tambahnya, setiap tahun, pemimpin Melayu/Islam akan bekerja rapat dengan semua Perdana Menteri Singapura dalam pelbagai isu termasuk meningkatkan pencapaian pendidikan, membanteras fahaman radikal dan pengganasan, serta usaha memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan.

“Kita telah menangani isu-isu ini dengan telus dan berani. Setiap kali masyarakat Melayu/Islam kita berganding bahu dengan penuh azam, dipacu semangat gotong-royong yang padu. Setiap kali itu juga, anda menjaga antara satu sama lain dan sama-sama meraikan kejayaan anda.”

“Projek terbaru ialah Kolej Pengajian Islam Singapura. Ia akan melahirkan para pemimpin Islam Singapura masa depan. Saya akan umumkan butirannya kelak,” jelas Encik Wong.

Beliau turut berikrar akan memastikan semua masyarakat Melayu/Islam meraih manfaat daripada kemajuan negara dan mampu memainkan peranan sepenuhnya demi membentuk masa hadapan.

“Saya akan terus dampingi anda dan pastikan masyarakat Melayu/Islam maju ke hadapan. Bersama-sama para Menteri, Anggota Parlimen dan pemimpin Melayu/Islam kita, saya akan bekerjasama dengan anda demi mencapai visi kita, visi Masyarakat Gemilang,” kata Encik Wong.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: