Singapura Bakal Terima Golongan LGBTQ?
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 22 Ogos 2022 – Singapura akan menghapuskan jenayah seks antara lelaki berikutan golongan muda di negara itu semakin menerima golongan gay, kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam ucapannya sewaktu Perhimpunan Hari Kebangsaan, semalam.
“Saya percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan, dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura,” kata beliau.
Beliau juga mengatakan bahawa golongan gay kini lebih diterima dan dengan pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan itu akan membawa undang-undang negara selaras dengan keadaan sosial semasa. Beliau juga berharap bahawa pemansuhan itu dapat memberi kelegaan kepada golongan gay Singapura.
Dalam ucapannya itu juga, beliau mengatakan bahawa undang-undang yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki ini akan dibatalkan malah, Kerajaan Singapura juga akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan dari dicabar secara perlembagaan di mahkamah yang ketika ini undang-undang itu mengiktiraf perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dan seorang perempuan.
Keputusan Perdana Menteri itu untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan itu turut disambut baik oleh kumpulan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender dan Queer (LGBTQ) namun, pemansuhan undang-undang ini masih belum diketahui waktunya.
Seksyen 377A Kanun Keseksaan itu merupakan satu undang-undang era-kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki di mana pesalah boleh dipenjarakan sehingga dua tahun.
Kumpulan ini turut menyatakan kelegaan mereka susulan daripada pengumuman Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan,
“Bagi setiap orang yang pernah mengalami pelbagai jenis buli, tidak diterima serta ditindas disebabkan undang-undang ini, akhirnya pemansuhan ini membolehkan kita untuk pulih. Bagi mereka yang menunggu Singapura untuk kesamarataan dan inklusif, pemansuhan ini menandakan bahawa perubahan memang boleh dilakukan,”
Walau bagaimanapun, kumpulan LGBTQ ini masih menyatakan kebimbangan mereka bahawa diskriminasi masih berlaku sekiranya perkahwinan sejenis masih ditolak.
Mereka bahkan menggesa pihak kerajaan agar tidak mempedulikan gesaan daripada konservatif agama supaya mengekalkan takrif perkahwinan dalam perlembagaan sekali gus memberi isyarat akan penolakan kesamarataan golongan LGBTQ.
Singapura menjadi antara negara Asia yang mengumumkan pemansuhan undang-undang terhadap hak LGBTQ selepas India dan Thailand.