NGO

Sindiket Antabangsa: Jenayah Komplek Yang Kejam Berpengkalan Di Laos, Cambodia Dan Myanmar – MHO

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

Ikuti perkongsian maklum balas lebih lanjut daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mengenai mangsa-mangsa yang diperdayakan tawaran kerja palsu menerusi sindiket jenayah komplek yang kejam dan melibatkan sindiket antarabangsa yang berpengkalan di Laos, Cambodia dan Myanmar.

Jenayah Komplek Yang Kejam Dan Terancang

Cuma, saya nak tambah sedikit, saya rasa definisi yang lebih tepat kita tidak boleh gunakan sindiket penipuan kerja sebab ia bukan isu scammer tawaran kerja palsu sahaja tetapi ini adalah jenayah yang terlalu komplek kerana ia melibatkan pemerdagangan manusia yang melibatkan pembunuhan, yang melibatkan jual orang, dalam sindiket pelacuran melibatkan pencabulan wanita, melibatkan eksploitasi terhadap manusia, perhambaan moden.

Semua ini, merupakan jenayah komplek terancang yang bukan sahaja satu skim penipuan kerja yang hanya dilihat sebagai jenayah komersial tetapi ia merupakan satu jenayah terancang yang sangat kejam melibatkan sindiket antarabangsa.

Jadi sudah tentulah pihak berkuasa Malaysia mempunyai kuasa yang terhad. Maka sebab itulah pihak MHO tampil mendesak kerajaan Malaysia menggunakan platform yang tertinggi yang ada di antara negara-negara asia seperti platform ASEAN ataupun platform United Nation(UN), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kita mempunyai ASEAN yang bertanggungjawab menjaga keselamatan, hubungan dagang di antara negara-negara Asia yang berjiran tetapi malangnya platform ASEAN ini tidak menjadi satu pentas untuk memincangkan satu sindiket pemerdagangan jenayah antarabangsa yang komplek ini.

Selepas Tekanan Dibuat Pelbagai Pihak, Cambodia Memberi Respon Baik

Terutama sekali, apabila kita membongkar kes ini didapati ada tiga negara iaitu Cambodia, Myanmar dan Laos. Setelah tekanan dibuat, dan bukan kita sahaja yang bagi tekanan, saya rasa media antarabangsa dan juga media tempatan serta banyak pihak lain juga memberi tekanan. Maka negara Cambodia telah memberi respon yang positif dengan memberikan kerjasama melalui pihak berkuasanya bersama dengan Kedutaan Malaysia untuk melakukan operasi dan menyelamatkan rakyat Malaysia tetapi tidaklah semua. Sebahagian daripada rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan. Cuma masalahnya, masih ramai yang tidak dapat diselamatkan lagi. Sindiket di Cambodia ini telah mula untuk menyeludup keluar dan menjual rakyat Malaysia ke negara-negara yang lebih sukar untuk diselesaikan masalahnya iaitu negara Myanmar. Jadi kita nampak sekarang ini ramai daripada sindiket-sindiket di Cambodia telah mula berpindah operasi mereka dan telah membawa mangsa-mangsa ke Myanmar.

Tidak Mendapat Kerjasama Dari Kerajaan Laos dan Myanmar

Situasi di Laos dan Myanmar ini agak komplek sikit kerana situasi di Myanmar dan Laos ini malangnya kedutaan kita tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan Laos dan kerajaan Myanmar menyebabkan rakyat kita masih ramai lagi yang terperangkap, yang dikurung dan diseksa yang dipaksa menjadi hamba abdi, yang dipaksa menjadi scammer dan kalau mereka gagal tipu orang mereka akan dipukul dan jika tidak sampai target mereka akan dikenakan renjatan elektrik dan kalau mereka gagal mencapai target tertentu mereka akan dijual kepada agen lain. Jadi, ramailah yang masih berada di Laos dan juga Myanmar.

Oleh sebab itulah, kita perlu terus menerus memberi tekanan yang kuat kepada kerajaan Myanmar dan Laos supaya dapat bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan juga kedutaan Malaysia untuk menyelamatkan rakyat Malaysia.

“Saya nyatakan juga di sini bahawa pihak berkuasa di Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk masuk ke negara Laos dan Myanmar kerana Polis Malaysia hanya terhad kuasa dalam Malaysia.”

Seolah-Olah Ada Penglibatan Pihak Berkuasa Di Negara-Negara Tersebut Dalam Melindungi Sindiket Pemerdagangan Manusia Di Sana

Walaupun kita mempunyai Aseanapol (Polis Asean) dan mempunyai Polis Antarabangsa Interpol (International Criminal Police Organization) tetapi tanpa kerjasama Polis Laos dan Polis Myanmar sudah tentulah operasi untuk menyelamatkan mangsa-mangsa ini tidak dapat dilaksanakan. Kita dapat lihat seolah-olah ada penglibatan pihak berkuasa di negara-negara tersebut dalam melindungi sindiket pemerdagangan manusia dan juga pemerasan di sana, ia seolah-olah ada berlaku hal sebegitu.

Justeru, kita mendesak Perdana Menteri menghubungi negara-negara seperti Cambodia, Laos dan Myanmar untuk berunding dengan cara yang bijak bagi menyelesaikan masalah supaya sindiket-sindiket pemerdagangan manusia ini tidak dilindungi oleh pihak berkuasa negara-negara terbabit.

Data PDRM Dan Kedutaan Amat Berbeza – Berkemungkinan Jumlah Mangsa Mencecah Ribuan

Sebenarnya, agak sukar untuk kita memberi data yang tepat kerana data yang ada pada pihak polis dan data yang ada pada pihak kedutaan amat berbeza. Kita hanya boleh menyatakan ada data-data lapangan daripada mangsa-mangsa ini yang jumlahnya ribuan. Terbaru, saya mendapat maklumat, di Laos sahaja tempat yang berdekatan dengan Sungai Mekong lebih kurang 100 kilometer daripada sungai itu jumlah mangsa telah diberi maklumat pada saya adalah lebih kurang 1,000 orang dan itu baru di kawasan Laos. Belum lagi kita bercakap jumlah di kawasan golden triangle apatah lagi yang di Cambodia dan Myanmar. Jadi kita tidak ada angka yang tepat dan kita hanya boleh menganggarkan jumlahnya ribuan yang masih lagi belum melaporkan. Sindiket ini terpendam dan tidak dibongkarkan selama ini. Jadi, kita berharap dengan pembongkaran yang kita lakukan ini maka lebih ramai yang tampil menyalurkan maklumat agar maklumat ini dapat kita salurkan kepada pihak PDRM dan juga pihak kerajaan Malaysia supaya dapat mencari langkah-langkah penyelesaian.

Di Malaysia Sindiket Ini Berpindah Randah, Sukar Dikesan – Dipercayai Dibantu Sindiket Tempatan

Berkenaan dengan mangsa yang dikatakan kerja di dalam pejabat scammer dan tawaran kerja di luar negeri di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebenarnya, kita telah salurkan kepada pihak polis dan pihak polis sedang menyiasat dan kita menantikan hasil siasatan kerana beliau (mangsa) telah membuat laporan polis berhubung sindiket tersebut dan kes ini agak komplek kerana sindiket ini berpindah randah dan tidak kekal di satu-satu premis melainkan transit semata-mata. Jadi, agak sukar untuk menghidu sindiket ini dan kita mencadangkan supaya ramai lagi pengadu-pengadu individu yang tampil membuat laporan khususnya kepada pihak Polis Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman untuk menangkap ejen-ejen yang bersekongkol khususnya ejen-ejen yang berada di Malaysia. Ini kerana, ejen ataupun sindiket ini tidak boleh melaksanakan jenayahnya tanpa penglibatan ejen tempatan. Sudah tentulah, ada kaitannya ejen tempatan yang membantu untuk menyeludup keluar dan menipu selain memperdagangkan rakyat Malaysia ke luar negara dan mereka ini dieksploitasikan oleh sindiket-sindiket tempatan ini, awalnya.

Kita Juga Mencadangkan Penglibatan ASEAN + 3 Membuat Rundingan

Mungkin juga kita boleh mencadangkan penglibatan ASEAN Campur Tiga (ASEAN + 3) yang mana kita boleh menggunakan rundingan bersama China kerana penglibatan ramai rakyat China yang juga menjadi mangsa selain ada juga yang menjadi ‘boss’ ataupun majikan-majikan yang kebanyakannya warga China. Jadi sindiket ini perlu diselesaikan secara kerjasama di antara negara Asean dan juga China. Saya juga mencadangkan supaya perbincangan di antara ASEAN + 3 dilaksanakan bagi menghentikan masalah jenayah terancang yang berlaku di Myanmar, Cambodia dan Laos.

Wujud Kekangan Dari Segi Kewangan Dari Kedutaan Untuk Tindakan Menyelamat

Saya memang mengakui bahawa Kementerian Luar Negeri, kedutaan-kedutaan Malaysia di luar di Cambodia, Laos dan Myanmar memang berusaha secara proaktif untuk membantu rakyat-rakyat Malaysia yang stranded dan ditahan di sana.

Bagaimanapun, pada hemat saya, menerusi maklumat terbaru secara tidak rasmi yang diperolehi buat masa ini ialah wujudnya kekangan dari segi kewangan dari kedutaan untuk melakukan tindakan-tindakan bagi usaha-usaha menyelamatkan.

MHO Mencadangkan Kerajaan Luluskan Satu Dana Tambahan Kepada Kedutaan Malaysia

Justeru, MHO mencadangkan atas nama kemanusian, atas nama semangat Keluarga Malaysia, Perdana Menteri Malaysia perlu memberikan peruntukan khas kepada kedutaan-kedutaan seperti Laos, Myanmar dan Cambodia bagi pihak kedutaan dapat melaksanakan usaha untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap, diperdagangkan, yang diseksa dan dieksploitasi oleh sindiket-sindiket ini.

“Saya cuma mahu mencadangkan kepada pihak Kerajaan untuk meluluskan satu dana tambahan kepada kedutaan Malaysia di negara-negara terbabit. Ini kerana, kita dapati bahawa tanpa dana khas sudah tentulah usaha untuk membebaskan, menyelamat ini amat sukar dilaksanakan sebab ia melibatkan kos logistik, penginapan, jumlah kakitangan yang perlu ditambahkan dan juga jumlah pembayaran kompaun kepada pihak berkuasa negara berkenaan.”

Mangsa Yang Berjaya Bolos Hanya Sehelai Sepinggang Tanpa Dokumen, Duit

Walaupun, kita dapat selamatkan tetapi untuk membawa balik mereka kita perlu membayar denda kepada Imigresen negara-negara terbabit. Ini disebabkan, kebanyakan mangsa-mangsa yang berjaya bolos atau melarikan diri, mereka ini hanya sehelai sepinggang termasuk tanpa apa-apa dokumen apatah lagi duit. Jadi, sudah tentulah kerajaan perlu berkoordinasi dengan Kementerian Luar Negeri dan juga kedutaan-kedutaan dan mungkin meluluskan satu peruntukan khas atas nama kecemasan atau nama kemanusian untuk membantu rakyat yang terperangkap sebab kita dapati ada kes yang mana kita dapat lokasi tetapi ada kekangan dari sudut kedutaan untuk pergi ke tempat tersebut dan hanya mengharapkan anak-anak ini untuk datang ke kedutaan. Maka, sudah tentulah sukar kerana mereka dalam keadaan bahaya. Justeru, kita perlu meletakkan pegawai-pegawai kita di tempat-tempat yang lokasinya berdekatan dengan kawasan-kawasan sindiket tersebut yang mana memerlukan peruntukan-peruntukan khas kewangan bagi melaksanakannya. Kalaulah, mengharapkan bajet dana yang sedia ada saya tidak rasa benda ini dapat dilakukan.

Mangsa Yang Pulang “Trauma” Dan Perlu Diberi Kaunseling

Sudah tentu Kerajaan setelah mereka pulang perlu mendapatkan maklumat daripada mereka dan juga perlu memberikan siri-siri kaunseling kerana sudah tentulah mental mereka terjejas. Rata-rata, yang saya nampak mereka memang dalam keadaan tertekan termasuk tidak berani nak keluar rumah disebabkan trauma dan sebagainya. Jadi, tindakan susulan mungkin melalui Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjaga dan memantau kesihatan mental mereka ini supaya mereka ini dapat hidup seperti biasa semula.

“Saya boleh katakan memang kehidupan mereka tertekan, jangankan mereka kita yang menguruskan mereka mendapatkan maklumat-maklumat pun turut merasa tertekan sama.”

Macam Dalam Filem – “Tak Percaya, Perhambaan Zaman Rom Masih Wujud Pada Era Moden”

Bayangkan, di dunia yang moden ini masih lagi berlaku perhambaan moden menggunakan seksaan dan kekerasan. Kita ingat perkara ini berlaku pada Zaman Rom dulu dan tidak wujud lagi pada zaman sekarang tetapi sebenarnya ada lagi dan melibatkan rakyat Malaysia. Nampak macam cerita dalam ‘movie’ saja tetapi ia sebenarnya benar-benar berlaku di dalam realiti hari ini.

Bagaimanapun, kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kerajaan yang kita nampak ada usaha, tapi kita juga minta pihak Kerajaan terus pertingkatkan usaha kerana setiap saat, setiap minit, setiap jam merupakan masa yang begitu berharga. Nyawa anak-anak Malaysia mungkin akan hilang, mereka mungkin akan didera dengan teruk sekiranya kita melewat-lewatkan usaha untuk menyelamatkan mereka. Insya Allah, kita bersatu padu bersama-sama berusaha untuk menyelamatkan mereka dengan segera.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: