Tempatan

Simpan Stok Ayam Tangani Kekurangan Bekalan – Ronald Kiandee

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 12 Jun 2022 – Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dr Ronald Kiandee mengatakan bahawa simpanan stok ayam atau “stockpile” ayam akan diwujudkan bagi menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran hasil dari pesetujuan jemaah menteri dalam satu mesyuarat.

Katanya, inisiatif tersebut akan dilaksanakan serta merta menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang turut melibatkan pertubuhan peladang secara gabungan.

“Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna tempatan,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, langkah bagi mempermudahkan proses pembayaran tuntutan subsidi harga ayam dengan membenarkan bayaran pendahuluan tuntutan terutamanya penternak kecil dan sederhana turut dipersetujui oleh jemaah menteri.

Ia sekaligus membolehkan pelaksanaan tuntutan amaun subsidi dilakukan dengan segera yang berjumlah RM157.53 juta, tambahnya.

Mesyuarat itu turut mengambil maklum akan status bekalan lapan komoditi makan negara ini antaranya daging ayam, lembu/kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.

Mengulas lanjut, kata Ronald Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan bersidang secara mingguan agar status bekalan komoditi utama makanan segera dapat dipantau.

Malah, isu dan langkah penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang juga dapat dikenal pasti bagi menyelesaikan isu sekuriti makanan negara.

Sebelum ini, beliau pernah mengatakan bahawa bekalan ayam di negara ini didapati mulai stabil dan tiada kekurangan ketara yang dikesan di pasar basah, pasar tani dan pasar raya seluruh negara.

Leave a Reply

Back to top button