Simbol Melayu dan Proses Sosio-budaya Melayu Adalah Identiti Negara – Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 15 April 2021 – Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara menyatakan, tidak salah jika unsur Melayu dan Islam lebih ditonjolkan berbanding etnik atau kaum lain dalam buku teks sejarah negara kerana pada dasarnya Malaysia adalah sebuah negara Melayu-Islam yang sudah diperakui semua pihak.
“Jika etnik lain dikatakan tenggelam dan peratusan Melayu lebih sedikit (dalam laporan sejarah) tidak mengapa kerana kita perlu faham bahawa penduduk dominan negara ini adalah Melayu dan rata-ratanya adalah Islam.”
Ujar beliau lagi, semua pihak juga sudah mempersetujui secara bersama dalam kontrak sosial dahulu bahawa simbol Melayu dan proses sosio-budaya Melayu adalah identiti negara.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan kenyataan sejarawan, Ranjit Singh Malhi yang mendakwa buku teks Sejarah untuk Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, menumpukan Islam serta orang Melayu dan tidak memasukkan fakta penting berkaitan pembinaan negara, selain menyimpang dan membesar-besarkan fakta.
Ini menyebabkan pelajar mempelajari sejarah Malaysia dan dunia dari perspektif kumpulan etnik tertentu sahaja.
Oleh itu, Ranjit menggesa prasangka terhadap etnik dan agama dalam buku teks dihentikan kerana rakyat perlu mempelajari cara menghargai warisan pelbagai budaya yang membentuk jiwa negara.
Tidak menolak dakwaan Ranjit ini, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, Kementerian Pendidikan perlu memperhalusi dan mengambil tindakan segera jika ia benar.
Awal tahun ini, Wakil Gabungan NGO-NGO Melayu membuat laporan polis berkenaan isu buku teks sejarah tingkatan 4 KSSM yang mengandungi unsur-unsur fakta yang telah dimanipulasikan dan memasukkan elemen Malaysian Malaysia dalam isi kandungannya.
Menurut Puan Seri Fatini Yaacob, wakil kepada Yayasan Kasih Tauhid, selain daripada memasukkan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan, buku teks sejarah tingkatan 4 tersebut juga mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.