Tempatan

Siklon Mocha: Pulau Pangkor Tangguh Aktiviti Rekreasi Laut

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IPOH, 15 Mei 2023 – Ekoran keadaan laut bergelora kesan daripada Siklon Mocha, Pulau Pangkor menangguhkan aktiviti rekreasi laut di kawasan pantai sekitar pulau itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, sejak empat hari lalu, ombak besar melanda kawasan berkenaan dan paling ketara di Pantai Teluk Nipah.

Menurutnya, penduduk setempat berkongsikan rakaman menunjukkan ombak lebih besar hingga melimpah ke laluan kenderaan. Keadaan itu berpunca daripada cuaca di negara ketika ini yang berada dalam fasa peralihan Monsun Barat Daya, kata beliau.

Ujarnya lagi, “Dalam fasa peralihan ini, beberapa tempat akan menerima tiupan angin yang meningkatkan potensi kejadian ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang dalam masa yang singkat.”

“Atas faktor keselamatan, sebarang aktiviti sukan air di kawasan Pangkor ini dihentikan sementara.”

BACA JUGA: Industri Halal Malaysia, Indonesia, Thailand Mampu Cecah Trilion Ringgit

BACA JUGA: Dilanda Wabak Penyakit Kaki & Mulut, Korea Selatan Arahkan Musnahkan Ratusan Lembu

BACA JUGA: “Atlet Transgender Mahu Jalani Hidup Seperti Biasa, Namun Kami Seperti Diburu”

Dalam pada itu, beliau juga menasihati orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti di kawasan pantai yang berlaku ombak besar. Sebagai langkah, pihak berkuasa akan memantau dari semasa ke semasa, bahkan bendera merah juga telah dinaikkan sebagai peringatan berjaga-jaga kepada orang awam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludin memaklumkan, setakat ini keadaan masih terkawal tanpa sebarang kemalangan melibatkan air.

Jelas Shukur, “Setakat ini belum ada lagi panggilan kecemasan mengenai insiden di air, namun kita sarankan orang ramai elakkan aktiviti air sehingga keadaan reda agar tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.”

“Bagi mereka yang berada berhampiran air, dinasihatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan,” tambahnya.

Selain itu, pemantauan juga telah dilaksanakan di sekitar Pantai Teluk Nipah dan Pasir Bogak bagi memastikan keselamatan para pengunjung.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: