Tempatan

GEMPAR! Penyelidik Temui Rangka Manusia Prasejarah Di Gua Musang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 01 Jun 2023 – Penyelidik menemui rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama artifak lain di Gua Keledung Kecil, Gua Musang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan semalam berkata, rangka tersebut ditemui oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli iaitu Felo Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM sewaktu kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Neggiri, di Lembah Nenggiri, Kelantan pada November tahun lalu.

Menurut kenyataan tersebut, rangka berkenaan ditemui dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke barat daya di mana ia merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung.

“Selain itu, perkara menarik berkenaan rangka ini adalah asosiasi artifak yang berada di sekelilingnya yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur.

Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan.

BACA JUGA: Kemas-Yayasan Pahang Bakal Lahirkan 100,000 Huffaz Menjelang 2026

BACA JUGA: Tasik Kenyir Diiktiraf Sebagai Geopark Kebangsaan

BACA JUGA: Solat Hajat Berikutan Cuaca Panas Diadakan Hari Ini

Di sekeliling rangka juga terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati, antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggang dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah,” memetik kepada kenyataan tersebut.

Kata MOTAC, cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun yang lalu.

Bagi memperoleh pentarikhan kronometrik, sampel gigi dan cangkerang siput juga akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat.

Bukan itu sahaja, rangka manusia prasejarah itu juga akan dibawa keluar dari gua tersebut dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara bagi kerja-kerja pemulihan secara menyeluruh.

Sehubungan itu, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan akan memastikan penemuan tersebut dapat dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan kepada orang ramai.

Kata MOTAC, penemuan rangka manusia prasejarah itu merupakan antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara di mana ia secara tidak langsung dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu yang berkait dengan amalan pengebumian dan evolusi sosio-budaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri, Kelantan.

Dalam masa yang sama, sebuah galeri mini turut akan dibangunkan berhampiran Empangan Nenggiri oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menempatkan jumpaan arkeologi termasuklah rangka manusia prasejarah yang ditemui di Gua Keledung Kecil itu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: