Siasatan Polis Ke Atas NGO Islam, Harap Ia Bukan Intimidasi Terhadap Perjuangan Bela Akidah – Pengerusi PEMBELA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 28 Februari 2022 – “Assalamualaikum semua, besar kemungkinan saya dan rakan-rakan bakal dipanggil oleh polis dalam masa terdekat kononnya kerana telah melanggar SOP di mahkamah baru-baru ini.” Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya, memulakan hantaran akaun media sosialnya pagi ini dengan pendedahan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan NGO yang hadir di dalam Himpunan Aman Solidariti Pertahan Akidah 3 Anak Mualaf yang digerakkan pada 21 Februari 2022, bakal dipanggil untuk siasatan polis atas alasan pelanggaran SOP.
“Suka saya kongsikan bahawa ketika kita berada di mahkamah tempoh hari, polis telah ditugaskan dengan serba ramai. Seingat saya, mungkin lebih kurang sama ramai dengan mereka yang hadir.”
“Mereka jugalah yang membenarkan kita bersolidariti di perkarangan mahkamah itu. Dari awal sehingga akhir, pihak polis yang bertugas ada sama-sama memantau. Malah, para pegawai polis yang beragama Islam turut sama-sama mengaminkan doa.”
“Jika ada pelanggaran SOP, menurut pengalaman saya, pasti ada yang mengarahkan kami untuk bersurai.”
Menganggap bahawa ini merupakan asam garam perjuangan, Hj Aminuddin menjelaskan, jika himpunan itu tidak diadakan pada hari tersebut, sudah pasti gelombang fitnah dan naratif palsu yang dihalakan kepada umat Islam oleh golongan dan kumpulan-kumpulan pelampau tidak dapat dikawal malah akan menjadi-jadi.
“Jika kita tidak berhimpun tempoh hari untuk menerangkan fakta-fakta sebenar di hadapan media yang hadir, pastinya naratif fitnah dan palsu akan semakin menjadi-jadi. Maka, saya tidak menyesal berhimpun pada hari itu.
Apa-apa pun, saya sudah banyak kali tegaskan bahawa perjuangan ini tidak datang dengan hamparan karpet merah. Pasti ada cabaran, dugaan dan halangan.”
Beliau menyatakan kehairanan beliau kenapa sekian lama, baru pihak PDRM mahu memulakan siasatan atas alasan pelanggaran SOP ini.
“Saya harap ini bukan satu bentuk intimidasi di pihak atasan untuk melemahkan momentum perjuangan ini.”
Menjawab dakwaan bahawa para peserta himpunan pada hari tersebut melanggar SOP, Pengerusi PEMBELA tersebut menyatakan seperti berikut :
“Malah, saya yakin yang kita semua telah mematuhi SOP dengan begitu tertib kerana bukannya lama sangat pun kami ada di situ. Dan kita pun hadir tidak begitu ramai; mungkin polis dan wartawan lebih ramai pada hari tersebut.”
“Lainlah macam kempen pilihan raya. Berkumpul berjam-jam, bersempit-sempit dengan lautan manusia.”
Menutup kenyataannya, beliau menyatakan bahawa pihak NGO-NGO Islam yang terlibat akan memastikan mereka tidak gentar menghadapi tekanan.
“Apa yang pasti, kita akan hadapi cabaran tersebut dengan penuh keyakinan.“