Tempatan

Operasi Musnah Kebun Durian Haram: 18 Pekebun Haram Lakukan Provokasi Ditahan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

RAUB, 5 Julai 2021 – Anggota Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berdepan dengan provokasi oleh pekebun haram durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang, lapor portal Utusan.

Dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang semalam, kenderaan anggota Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga dihalang keluar dan masuk ke kawasan berkenaan selain dihalang menjalankan tugas.

“Oleh itu, beberapa laporan polis dan rakaman video diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan,” kata satu kenyataan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Dalam operasi itu, seramai 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King telah ditahan.

Kesemua 18 pekebun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk mendapatkan tahanan reman dan akan disiasat selanjutnya serta diambil tindakan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara.

“Pegawai penyiasat jabatan akan menjalankan tugas-tugas siasatan selanjutnya bagi memastikan kesemua pekebun haram ini dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” tambah kenyataan itu lagi.

Terdahulu, klip video menggunakan tajuk ‘Penceroboh Tanah Haram’ yang mendakwa pekebun menengking dan mencaci petugas menjalankan operasi memusnahkan tanaman di atas tanah Hutan Simpan Kerajaan Negeri Pahang di Raub, tular dalam media sosial.

Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula kelmarin sehingga 2 Ogos ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Difahamkan, kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu mempunyai pokok durian Musang King yang mula luruh dan mengeluarkan hasil.

Tambah kenyataan itu, operasi berkenaan bertumpu kepada tindakan memusnahkan kesemua tanaman durian yang ditanam secara haram di samping anggota operasi akan membuat tangkapan ke atas mana-mana individu atau pekebun yang memasuki ke dalam kawasan HSK tanpa kebenaran.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: