Tempatan

Melayu Islam Tidak Pernah Bersikap Angkuh Di Negara Ini – Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 April 2023 – “Bila masa kaum Melayu Islam terlalu selesa dan angkuh terhadap kaum-kaum lain?” soal Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Khairuddin Abu Hassan.

Katanya, beliau sangat tidak memahami kenyataan daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan kaum Melayu Islam agar tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok lain di negara ini.

Hal ini kerana, beliau berkata orang-orang Melayu Islam adalah bangsa yang cukup baik, toleran, ikhlas, berbudaya halus dan menghormati Perlembagaan Persekutuan secara amat kental.

“Selepas negara merdeka pada tahun 1957 dan hampir sejuta kaum-kaum pendatang diberikan kerakyatan negara apakah pada waktu itu kaum Melayu Islam protes serta menganjurkan kacau-bilau di tanah air kita?

BACA JUGA: Kenyataan PM Tidak Tepat, Hina Orang Melayu

BACA JUGA: 4 Hutan Di Kelantan Berisiko Terbakar Kemarau Ini

BACA JUGA: Filipina Umum 4 Lokasi Baharu Pengkalan Tentera AS

“Bila puluhan ribu ekar tanah diberikan pada kaum-kaum pendatang pada waktu itu apakah Melayu Islam menganjurkan tentangan?” soal beliau.

Tambahnya, susulan daripada tuntutan kaum-kaum pendatang yang menuntut sekolah-sekolah berteraskan bahasa ibunda mereka, maka terwujudlah konsep sekolah vernakular sehingga kini.

“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia kali pertama dahulu mencadangkan agar kita wujudkan sekolah Wawasan di mana semua premis sekolah-sekolah vernakular akan ditempatkan dalam satu perkarangan dengan sekolah-sekolah Kebangsaan untuk tujuan asimilasi intergrasi nasional ke arah menggalakkan murid-murid dari pelbagai kaum bergaul sesama mereka.

Niat murni itu ditentang oleh persatuan-persatuan pendidikan dari kaum-kaum lain dan akhirnya perancangan ini tidak dilaksanakan.

Pernahkah kita melihat kaum Melayu Islam turun ke jalanan untuk menganjurkan protes dan sebagainya?” soalnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh tentang tanah rizab Melayu yang kini hanya tinggal 11 peratus sahaja, apakah kaum Melayu Islam pernah membawa ‘senjata’ untuk merampas semula hak asal-usul mereka itu, soalnya.

“Sesungguhnya, amalan-amalan kekerasan tidak pernah ujud dalam hati sanubari kaum Melayu Islam.”

“Kita tetap menghormati Perlembagaan Persekutuan dan sama sekali tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menyentuh sensitiviti mengenai kaum, Raja-Raja Melayu serta agama bagi menganjurkan kacau-bilau di antara kaum-kaum,” kata beliau.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Haji Aminuddin Yahaya turut memberi respon berhubung perkara ini.

Katanya, “Bukan sahaja gambaran terhadap sikap orang Melayu itu tidak tepat malah dari satu segi dilihat beliau menghina orang Melayu. Kalaulah benar Melayu ini angkuh dan tidak melayan bangsa lain dengan baik, saya rasa sudah lama bangsa lain tidak wujud di negara ini.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: