Setelah Pulau Pinang & Pahang, Kini Kelantan Pula Kurang Bekalan Telur
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GUA MUSANG, 27 September 2022 – “Jumlah bekalan amat terhad apabila hanya menerima 50 papan telur seminggu. Masalah kekurangan telur ayam Gred A, B, C dan D berlaku sejak dua minggu lalu dan tidak dapat menampung permintaan yang tinggi,” luah seorang peniaga kedai runcit, Nurul Fatehah Saupi kepada sebuah portal tempatan.
“Ramai pelanggan tetap dan baharu datang untuk membeli telur, namun pulang hampa kerana bekalan habis.”
Menurut portal itu, pemborong dan peniaga di daerah Gua Musang resah apabila bekalan telur ayam semakin berkurangan sejak dua minggu lalu sehingga tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.
Kata Fatehah lagi, pada bulan September, bekalan telur hanya sampai seminggu sekali di premisnya.
Situasi sama turut dialami oleh pengusaha kedai makan, pembuat kek dan biskut yang lain.
Pengusaha bakeri, Mohamad Shamsul Ridzuan, berkata, beliau terpaksa mengehadkan tempahan kek kerana kekurangan bekalan telur ayam.
“Jika keadaan berterusan, saya terpaksa bercuti seketika dan menolak tempahan pelanggan.”
Sebelum ini, golongan peniaga terutamanya yang terlibat dengan perniagaan pastrI di Jerantut, Pahang runsing berikutan kehabisan bekalan telur yang bermula sejak dua minggu lalu.
Awal September baru-baru ini pula, pembekal telur ayam di Pulau Pinang dilaporkan ada yang terpaksa menghentikan tempahan daripada peniaga atau pembuat kek berikutan jumlah pengeluaran stok barang keperluan itu dikatakan berkurangan sehingga 50 peratus di peringkat peladang sejak Jun lalu.
Susulan itu, ada pembekal yang terpaksa membuat pengedaran secara harian bagi tempahan telur ayam campuran gred untuk peniaga di pasar, manakala peruncit pula setiap dua hari sekali dengan majoritinya menempah gred B.